AM

Perak Bentang Belanjawan 2025 Jumaat Depan

21/11/2024 06:18 PM

IPOH, 21 Nov (Bernama) -- Perak akan membentangkan Belanjawan Negeri 2025 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan diadakan pada 29 Nov hingga 5 Dis ini. 

Speaker DUN Perak Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata belanjawan yang disifatkan mesra rakyat itu antaranya memfokuskan pembangunan negeri selaras Pelan Perak Sejahtera 2030. 

Beliau berkata Belanjawan Negeri akan dibentangkan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diberi peluang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan. 

"Sesi perbahasan yang diperuntukkan kepada penyokong kerajaan dan ketua pembangkang ialah 45 minit manakala 20 minit kepada ADUN yang lain," katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini. 

Turut hadir Timbalan Speaker DUN Jenny Choy Tsi Jen dan Penolong Setiausha Dewan Negeri Amir Fadli Mohamed Halmi. 

Sementara itu, Mohammad Zahir berkata pemilihan Ahli Dewan Negara adalah antara usul yang akan dibentangkan dalam persidangan berkenaan.

Beliau berkata setakat ini pihaknya telah menerima dua pencalonan bagi mengisi satu kekosongan kerusi berkenaan dan tarikh tutup pencalonan pada 22 Nov (esok). 

"Semua ahli dewan telah dimaklumkan notis tentang perkara ini (pencalonan) bagi mencalonkan individu untuk dilantik sebagai Senator di Dewan Negara. 

"Pelaksanaan pembentangan sesi itu akan diadakan pada persidangan hari kedua iaitu pada 2 Dis selepas selesai penggulungan Enakmen Perbekalan Tahun 2025 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2025," katanya. 

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan