AM

Korea Selatan Berminat Jalin Kerjasama Pembangunan Lebuh Raya Di Malaysia - Nanta

23/11/2024 11:58 AM

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Korea Selatan menyatakan minat untuk menjalin kerjasama dengan Malaysia dalam sektor pembinaan infrastruktur terutamanya pembangunan dan pengurusan lebuh raya pintar yang mengintegrasikan teknologi tinggi dan canggih di negara ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata perkara itu antara inti pati dibincangkan dalam mesyuarat dua hala antara beliau dengan Menteri Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Korea Selatan Park Sang-Woo di sini semalam.

Beliau berkata Korea Selatan turut berhasrat memeterai memorandum persefahaman dengan Malaysia untuk kerjasama pembangunan lebuh raya pintar dan sistem pengurusan canggih berkenaan.

“Saya turut menyatakan harapan agar kerjasama itu bakal menjadi platform untuk kedua-dua negara melaksanakan pertukaran idea dan teknologi khususnya dalam pembinaan dan pengurusan lebuh raya di Malaysia, terutamanya dalam aspek keselamatan, kelestarian dan keberkesanan kos.

“Kedua-dua negara juga bersetuju untuk meneroka kemungkinan pembangunan projek infrastruktur jalan raya mengguna pakai teknologi tinggi yang dapat memanfaatkan rakyat dan negara selaras dengan dasar pembangunan ekonomi dan infrastruktur Malaysia MADANi,” katanya di Facebook hari ini.

Nanta berkata kerjasama itu juga dijangka dapat menyediakan peluang pekerjaan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia dengan kemudahan infrastruktur jalan raya yang lebih baik dan efisien.

Bagi peringkat awal, katanya kerjasama akan dimulakan dengan perbincangan dan rundingan lanjut antara pegawai tinggi kedua-dua negara dalam masa terdekat dengan matlamat untuk memperkukuh lagi hubungan ekonomi dan diplomatik menerusi sektor infrastruktur.

“Usaha ini dilihat dapat memperkukuh lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara yang telah menjalinkan hubungan diplomatik yang sangat erat sejak 1960.

“Korea Selatan merupakan antara negara yang mempunyai kepakaran, teknologi dan reka bentuk jalan raya yang canggih serta berpengalaman luas dalam projek infrastruktur berskala besar,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan