AM

Jelajah Peduli Ummah: MAPIM Agih 600 Kotak Bantuan Makanan Di Melaka

24/11/2024 05:27 PM

MELAKA, 23 Nov (Bernama) --  Enam ratus kotak bantuan makanan bernilai kira-kira RM78,000 diagihkan kepada rakyat di Melaka khususnya golongan asnaf, B40, anak yatim dan warga emas menerusi Program Jelajah Peduli Ummah.

Pengarah Perhubungan Korporat Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Nik Abdul Aziz Nik Muhammad berkata program yang berlangsung dua hari bermula hari ini melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong dan DUN Paya Rumput itu, bertujuan menyantuni masyarakat tanpa mengira kaum dan agama khususnya yang ditimpa musibah.

Beliau berkata program jelajah itu juga bagi menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri menerusi penganjuran pelbagai aktiviti yang dapat memberi manfaat kepada orang ramai. 

"Pada hari ini, MAPIM mengagihkan 300 kotak bantuan makanan asas kepada masyarakat di DUN Duyong manakala baki 300 kotak lagi akan diagihkan kepada penduduk di DUN Paya Rumput pada program sama esok.

"Kotak makanan berkenaan mengandungi antaranya beras, minyak masak, gula serta makanan kering. Bantuan ini diharap dapat meringankan beban kos sara hidup kepada penerima," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup dan Penyerahan Kotak Bantuan Program Jelajah Peduli Ummah: Program Ummah Untuk Ummah di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan hadir sama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.

Nik Abdul Aziz berkata pengagihan kotak makanan itu turut melibatkan skuad MAPIM Rangers dengan bantuan pihak Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Duyong, yang pergi ke rumah penerima yang terlantar sakit dan tidak mempunyai kenderaan untuk ke program tersebut.

Beliau berkata Melaka merupakan lokasi ke empat penganjuran Program Jelajah Peduli Ummah sebelum diteruskan ke negeri lain antaranya Negeri Sembilan, Perak dan Pulau Pinang.

“Program jelajah di DUN Duyong ini turut melibatkan aktiviti antaranya Semarak Subuh Macam Jumaat di Masjid Jamek Laksamana Hang Tuah, pemeriksaan kesihatan percuma menerusi klinik bergerak, ziarah mahabbah, sukaneka rakyat dan e-sukan,” katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata 3,000 sukarelawan dan 20 aset digerakkan menerusi Jelajah Peduli Ummah ke seluruh Semenanjung bagi menyantuni masyarakat tanpa mengira kaum dan agama khususnya mereka yang kurang bernasib baik.

Sementara itu, Mohd Noor Helmy berkata Jelajah Peduli Ummah memberi impak positif kepada penerima kotak bantuan makanan selain memperkukuhkan hubungan antara rakyat setempat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti MAPIM.

"Semua aktiviti atau program yang dianjurkan sepanjang jelajah ini berlangsung diuruskan oleh penduduk sendiri seperti rewang komuniti untuk menyiapkan kenduri rakyat," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan