ISKANDAR PUTERI, 24 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor telah mengeluarkan kaveat atau larangan menjual hartanah dimajukan kepada tiga pemaju susulan kegagalan membangunkan rumah mampu milik di negeri ini.
Pengerusi Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata tindakan tegas kerajaan negeri itu dibuat susulan ketiga-tiga pemaju berkenaan gagal mematuhi syarat pembinaan perumahan mampu milik seperti yang ditetapkan Jawatankuasa Penilaian, Perancangan dan Pembangunan (PDRC).
“Tiga syarikat pemaju diberi kaveat yang menghalang hartanah dibangunkan dijual sehingga kerajaan negeri beri pelepasan selepas mereka bangunkan rumah mampu milik yang dijanjikan.
“Kita bukan kaveat satu projek pembangunan sahaja, namun keseluruhan projek pembangunan pemaju berkenaan di negeri ini dengan pelaksanaannya sudah dibuat sejak tahun lepas,” katanya kepada pemberita pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.
Seterusnya beliau berkata tindakan tegas berkenaan dibuat supaya pemaju melaksanakan Dasar Rumah Mampu Milik diperkenalkan Kerajaan Johor yang mensyaratkan pemaju membina rumah mampu milik bagi setiap perumahan pasaran bebas dibangunkan di negeri ini.
Mohd Jafni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata PDRC sudah bertemu dengan 100 pemaju bagi memberi peringatan mengenai pembinaan rumah mampu milik setakat ini.
Tambah beliau, separuh daripada pemaju yang ditemui sudah memberi komitmen bagi membina rumah kategori berkenaan tahun ini atau tahun depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial