AM

Syarikat Swasta, GLC Ikut Lawatan Rasmi PM Ke Luar Negara Tanggung Kos Sendiri

26/11/2024 08:44 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Kos perjalanan bagi syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menyertai lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke luar negara, ditanggung sepenuhnya oleh pihak mereka sendiri.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata penglibatan syarikat berkenaan merupakan inisiatif untuk mengembangkan pelaburan mereka yang sudah bertapak di negara-negara tersebut, selari dengan usaha kerajaan mempromosikan kepentingan ekonomi negara di peringkat global.

Beliau berkata lawatan itu turut menjadi platform strategik untuk menjalin hubungan erat antara pelabur tempatan dan antarabangsa.

“Perlu difahami, ini bukan isu rasuah, bukan hadiah dan bukan juga satu bentuk ketidaktelusan seperti yang didakwa pihak tidak bertanggungjawab.

“Lawatan rasmi ini membawa manfaat besar kepada negara (dengan) kos turut dibiayai oleh GLC dan syarikat swasta yang ikut serta menyertai lawatan ini adalah bagi memastikan ia mencapai objektif strategik, seperti menarik pelaburan, meneroka pasaran baharu di samping memperkukuh perdagangan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Ahmad Farhan turut menjelaskan bahawa Perdana Menteri tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam syarikat atau GLC yang terlibat dan prinsip itu jelas dalam kepimpinan beliau, yang sentiasa mengutamakan integriti dan amanah.

Justeru beliau berkata tindakan pihak yang mendakwa lawatan rasmi itu sebagai rasuah, adalah fitnah besar yang bertentangan dengan prinsip Islam.

Ahmad Farhan berkata Perdana Menteri juga berulang kali menegaskan komitmennya untuk mentadbir dengan integriti dan hikmah serta setiap langkah beliau diambil dengan penuh pertimbangan, bukan untuk manfaat peribadi tetapi demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

“Tuduhan ini hanya usaha memburukkan imej pemimpin, tetapi kebenaran akan terus tertegak.

“Akhirnya, lawatan rasmi ke luar negara bukanlah soal individu, tetapi soal negara. Setiap langkah ini membawa pulangan besar untuk Malaysia.

“Semoga rakyat Malaysia dapat menilai dengan hati yang terbuka, demi masa depan negara yang lebih cemerlang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan