AM

Utusan Khas Pengerusi ASEAN Mengenai Myanmar Diumum Dalam Masa Terdekat - Mohamad

27/11/2024 07:37 PM

Oleh Norhayati Mohd Akhir

PUTRAJAYA, 27 Nov (Bernama) -- Malaysia dijangka membuat pengumuman berkaitan utusan khas Pengerusi ASEAN mengenai Myanmar dalam masa terdekat, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin.

“Kita tunggu, Insya-Allah dalam masa terdekat akan diumumkan, mungkin oleh Perdana Menteri,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan ucaptama pada sidang selari bertajuk Kepengerusian ASEAN 2025: Persediaan Malaysia, 

Beliau berkata utusan khas itu memikul tugasan besar untuk mencari jalan penyelesaian yang berkekalan berhubung krisis politik dan kemanusiaan di negara itu.

“Dia (utusan khas itu) harus ke sana (Myanmar) secara lebih kerap dan membuat libat urus dengan pihak-pihak yang ada di Myanmar. Ini antara peranannya. Kalau boleh untuk membuat sesi libat urus secara berterusan dengan pihak di Myanmar,” katanya.

Pada 7 Nov lepas Mohamad dilaporkan berkata Malaysia dalam proses akhir melantik utusan khas itu, yang akan menjalankan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan di Myanmar untuk dibawa ke meja rundingan dan dialog politik bagi mencari penyelesaian berkekalan berhubung krisis politik serta kemanusiaan di negara itu.

Mohamad berkata utusan itu akan menjalankan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan di Myanmar berlandaskan kepada Konsensus Lima Perkara ASEAN mengenai Myanmar yang telah diterima pakai negara ASEAN sejak 2021.

Beliau berkata sebagai negara anggota ASEAN dan akan menjadi Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia sedaya upaya berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengakhiri krisis di Myanmar.

“Kalau kita boleh buat yang terbaik, maka semasa Kepengerusian ASEAN nanti, ia akan menjadi sejarah buat kita,” katanya.

Berkongsi mengenai Kepengerusian ASEAN 2025, beliau berkata 297 mesyuarat akan diadakan bermula awal Januari tahun depan yang akan diadakan di seluruh negara.

“Sebanyak 297 mesyuarat dan program di peringkat pemimpin, menteri, pegawai kanan dan kumpulan kerja bakal dianjurkan di seluruh Malaysia pada 2025,” katanya.

Dari segi persiapan, beliau berkata Perdana Menteri telah mengarahkan semua kementerian dan agensi termasuk rakan strategik untuk berganding bahu, menggembleng tenaga dan berkongsi kepakaran untuk memikul tanggungjawab supaya Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 meninggalkan kesan positif yang berkekalan kepada negara.

“Perdana Menteri secara aktif terlibat dalam mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan (JPK) yang telah ditubuhkan untuk merancang, menyelaras, memantau persiapan dan pelaksanaan substantif serta logistik bagi Kepengerusian ASEAN tahun melalui pendekatan ‘whole-of-government’,” katanya.

Malaysia pernah memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005, dan 2015.

Diasaskan pada 8 Ogos 1967, ASEAN kini dianggotai 10 negara Asia Tenggara iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan