KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Situasi banjir di Kelantan dan Terengganu terus memburuk dengan jumlah mangsa banjir dipindahkan ke pusat permindahan sementara (PPS) meningkat mendadak, selain telah meragut dua nyawa, setakat 4 petang ini.
Kedah dan Perlis menjadi negeri terbaharu dilanda banjir manakala situasi di Perak dan Johor masing-masing tidak berubah.
Di KELANTAN, mangsa banjir meningkat kepada 12,526 orang berbanding 3,110 orang yang berlindung di 96 PPS melibatkan jajahan Pasir Mas, Pasir Puteh, Kuala Krai, Kota Bharu, Tanah Merah, Machang, Tumpat, Bachok dan Jeli.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, jajahan Pasir Mas mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 3,232 orang di 19 PPS, Pasir Puteh (1,738 mangsa di 14 PPS), Kuala Krai (1,591 mangsa di 17 PPS), Kota Bharu (1,573 mangsa di 14 PPS) dan Tanah Merah (1,001 mangsa di 14 PPS).
Di Machang, sebanyak 977 mangsa ditempatkan di lapan PPS, Tumpat (973 mangsa di dua PPS), Bachok ( 776 mangsa di empat PPS) dan Jeli (665 mangsa di empat PPS).
Satu kematian direkodkan di negeri itu selepas seorang lelaki maut terkena renjatan elektrik ketika cuba menanggalkan plag mesin basuh susulan kediamannya di Kampung Banir Belikong, Pasir Puteh dinaiki air.
Komander Operasi Bomba Pasir Puteh Mohd Rukiman Ab Rahman berkata dalam kejadian 4.30 pagi itu mangsa, Tuan Mohd Zakaria Tuan Ismail, 33, terkena renjatan elektrik sebelum jatuh dan dihanyutkan arus deras ke sungai di belakang rumahnya.
Lima sungai utama di Kelantan melepasi paras bahaya iaitu Sungai Lanas di Jeli, Sungai Kelantan di Tanah Merah, Sungai Golok di Rantau Panjang, Sungai Melor, Bachok dan Sungai Semerak di Pasir Puteh.
Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir turut meningkat mendadak kepada 1,851 orang berbanding 97 pagi tadi dengan keseluruhan 42 PPS dibuka melibatkan daerah Besut, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu dan Marang.
Besut muncul daerah paling terjejas dengan merekodkan 1,102 mangsa yang ditempatkan di 20 PPS, Setiu (252 mangsa di lapan PPS), Dungun (235 di dua PPS), Hulu Terengganu (195 mangsa di 10 PPS) dan Marang (67 mangsa di dua PPS).
Paras air sungai di 11 stesen di negeri itu turut mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya, antaranya Sungai Besut di Jambatan Keruak dan Sungai Besut di Kampung La, Besut; Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu, Sungai Setiu di Kampung Besut, Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri, dan Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu.
KEDAH muncul negeir terbaru dilanda banjir dengan mencatatkan 16 mangsa termasuk seorang bayi perempuan dipindahkan ke sebuah PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun di Kubang Pasu manakala di PERLIS, 50 mangsa dipindahkan ke dua PPS masing-masing di Arau dan Padang Besar.
Sungai Jarum di Kampung Masjid, Padang Besar pula telah melebihi paras bahaya.
Sementara itu, di PERAK jumlah mangsa banjir kekal 20 orang ditempatkan di PPS SK Haji Parit Aman di Kerian manakala di JOHOR tidak berubah melibatkan 28 orang yang masih berlindung di PPS Balai Raya Batu Badak di daerah Segamat.
Di SARAWAK, seorang warga emas maut selepas kereta dipandunya terperangkap sebelum dihanyutkan arus deras ke sungai dalam kejadian banjir kilat di Kilometer 4 Jalan Selirik, di Kapit awal pagi tadi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial