AM

Fahmi Akan Bertemu Pengurusan Tiga Portal Berita Berhubung Isu Tunggakan Gaji Wartawan

27/11/2024 11:19 PM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil akan mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan tiga portal berita susulan isu tunggakan gaji petugas media, esok.

Beliau yang melahirkan rasa terkilan berhubung isu itu berkata akan memantau perkara itu bersama Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong, bagi memastikan kebajikan dan hak pekerja termasuk wartawan terbela.

“Saya bagi peluang terakhir, saya tunggu sampai esok saya nak dengar apa kata Ketua Editor (portal terlibat) tersebut dan saya akan susuli,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi, di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 2 Okt, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) dalam kenyataan memaklumkan bersedia memainkan peranan sebagai perantara dalam isu tunggakan gaji petugas media di portal berita The Malaysian Insight, The Vibes dan Getaran.

Presidennya Farah Marshita Abdul Patah berkata ia bagi memastikan hak wartawan yang terlibat dipertahankan dan segala tunggakan gaji dilunaskan dengan segera.

Fahmi berkata mana-mana pengamal media yang mengalami kesukaran boleh mendapatkan bantuan menerusi Tabung Kasih@HAWANA.

“Tabung Kasih@HAWANA bukan hanya pada Hari Wartawan Nasional tetapi ia boleh digunakan pada bila-bila masa untuk membantu wartawan yang menghadapi sebarang kesukaran,” katanya.

Mengenai isu kelewatan pembayaran kepada perkhidmatan tenaga kreatif (piecemeal) RTM yang tular baru-baru ini, Fahmi berkata perkara itu isu terpencil dan telah diselesaikan secara dalaman.

Beliau bagaimanapun berkata Kementerian Komunikasi dan RTM akan memastikan nasib kakitangan sambilan atau piecemeal sentiasa terbela.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan