AM

LPP Mahu Perluas Kerjasama Dengan Jabatan Penjara Dalam Bidang Penternakan

28/11/2024 03:45 PM

TAIPING, 28 Nov (Bernama) -- Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berhasrat memperluaskan lagi kerjasama dengan Jabatan Penjara Malaysia dalam membangunkan projek berkaitan aktiviti penternakan, selain pertanian yang sedang dilaksanakan kini, bagi menyokong agenda sekuriti makanan negara. 

Pengerusinya Datuk Mahfuz Omar berkata ketika ini kerjasama membabitkan kedua-dua pihak telah dilaksanakan di tujuh pusat koreksional dan reintegrasi seluruh negara, membabitkan penanaman sayur-sayuran.

“Buat masa ini tiga lokasi tanaman bawang membabitkan kerjasama kedua-dua pihak adalah di Pusat Koreksional Kamunting, Jasin dan Pusat Reintegrasi Sepang manakala lain-lain pula adalah tanaman sayur-sayuran. 

“Dengan kejayaan ini, kita harapkan kerjasama dengan jabatan penjara ini dapat terus diperluaskan dan mungkin membabitkan bidang penternakan pula selepas ini,” katanya selepas menghadiri sesi lawatan Program Kerjasama Tanaman Bawang Merah ‘Shallot” di Pusat Koreksional Kamunting di sini hari ini.

Mahfuz berkata pemilihan pusat koreksional dan reintegrasi sebagai lokasi penanaman juga dilihat sebagai satu usaha mengurangkan kos tenaga kerja selain melahirkan usahawan dikalangan prospek.

“Tidak seperti mana kalau di luar sana, para pengusaha perlu mendapatkan tenaga kerja ditambah kos untuk bayaran gaji agak tinggi. Ia berbeza berbanding di sini, kita dapat jimatkan kos pekerja selain bantu mereka (prospek) mendalami ilmu pertanian,” kata Mahfuz.

Sementara itu Mahfuz berkata RM78,000 diperuntukkan bagi kos keseluruhan penanaman bawang merah jenis BAW-2 di pusat koreksional ini, yang membabitkan keluasan sekitar 1.2 hektar.

Beliau berkata proses tuaian hasil bagi penanaman berkenaan dijangka pada Mac tahun depan dengan anggaran pengeluaran sekitar empat tan semusim.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan