AM

PM Ucap Takziah Kepada Keluarga Mendiang Ananda Krishnan

28/11/2024 06:43 PM

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga taikun perniagaan Ananda Krishnan yang meninggal dunia hari ini.

Beliau berkata sumbangan mendiang dalam dunia korporat, filantropi dan kemasyarakatan pasti akan terus diingati.

"Terima perkhabaran pemergian mendiang Ananda Krishnan hari ini. Saya utus takziah buat keluarga mendiang dan semoga mereka tabah menghadapi dugaan ini," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Berita kematian Ananda, 86, disahkan oleh syarikat pegangan pelaburan yang diterajui mendiang iaitu Usaha Tegas Sdn Bhd menerusi satu kenyataan.

Ananda, atau nama penuhnya Tatparanandam Ananda Krishnan atau T. Ananda Krishnan, adalah antara tokoh perniagaan terkemuka Malaysia dan disenaraikan sebagai seorang daripada individu terkaya di negara ini.

Lulusan Harvard Business School, beliau memulakan Usaha Tegas sebelum mengasaskan Maxis Communications dan MEASAT Broadcast Network Systems.

Kepimpinan beliau telah mendorong Maxis menjadi antara penyedia telekomunikasi terkemuka di Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan