AM

PM Sifatkan Pemimpin Guna Sentimen Perkauman Sebagai Golongan Dangkal

28/11/2024 10:27 PM

PUTRAJAYA, 28 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyelar sikap segelintir pemimpin yang suka memainkan sentimen perkauman dan agama untuk menarik perhatian umum serta menyifatkan mereka sebagai golongan dangkal dan bankrap idea.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata golongan ini turut mencerminkan sikap mereka yang berfikiran sempit dan berniat untuk menyemai kebencian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

“(Golongan yang) menggunakan agama dan perkauman ini tidak terlepas daripada kalangan ahli politik, ahli perniagaan dan ahli akademik. 

“Suara-Suara tempang dan merosakkan bukan kerana kurangnya ilmu dan idea tetapi kerana ketandusan prinsip akhlak serta dasar perjuangan yang luhur dan mulia.

“Pemahaman sempit ini paling mudah… kalau dalam kalangan orang Melayu, mereka akan mudah tercabar contohnya kalau ada satu dua poster dalam Bahasa Cina. Dalam kalangan Orang Cina… rakyat Cina dinafikan hak dan tercabar,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Festival Idea Putrajaya di sini.

Justeru itu, Anwar berkata menjadi tugas anak muda untuk mendapatkan pencerahan secara kritis, kebenaran sesuatu kenyataan, mendengar daripada semua pihak dan mencari jalan penyelesaian terbaik. 

“Kadang-Kadang, pidato-pidato pimpinan politik negara kita tidak ada hujah bicara tentang dasar, tidak ada kupasan… cuma penuh dengan kebencian,” katanya sambil menambah manusia kini semakin hilang nilai dan harga rasa kasih sayang. 

Menerusi ucapan yang penuh bersemangat itu, Perdana Menteri berkata perkara itu perlu diperbaiki dengan kasih sayang kerana negara tidak seharusnya mempunyai orang yang lemah, rosak, rasuah atau melakukan kecurangan. 

Beliau turut mengingatkan bahawa tindakan menyebarkan sentimen perkauman mencerminkan sikap berfikiran sempit dan berniat jahat untuk menyemai kebencian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Dalam Islam, dakwah bermaksud membetulkan dan memperbaiki dengan kasih sayang... kita seru dengan semangat kasih sayang kerana kita mahu elak caci dan fitnah. 

“Anak-anak yang dikasihi sekalian, kita mesti berbicara dengan baik kalau mahu negara ini maju. Dengan pencerahan, dengan ‘lazatul ma’rifah’ (kelazatan ilmu mengenali) kita mampu membawa kebaikan kepada negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan