AM

Tubuh Jawatankuasa Kabinet Pastikan Putrajaya FOI Jadi Program Besar Negara - Zambry

29/11/2024 07:37 PM

PUTRAJAYA, 29 Nov (Bernama) -- Jawatankuasa Kabinet akan ditubuhkan untuk memastikan penganjuran Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) menjadi program besar negara, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet hari ini dan jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Semalam, selepas Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) merasmikan (Putrajaya FOI) dan melihat sambutan sangat menggalakkan, mesyuarat Kabinet telah membuat keputusan untuk mewujudkan Jawatankuasa Kabinet," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup Putrajaya FOI di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini hari ini.

Zambry berkata langkah mewujudkan jawatankuasa itu membolehkan penyelarasan dibuat dengan pelbagai kementerian dan agensi sekali gus mengangkat Putrajaya FOI sebagai program berskala besar.

"Malaysia berada di posisi antarabangsa dengan penganjuran Putrajaya FOI. Pelbagai program telah diatur sepanjang tiga hari program melibatkan penyediaan peluang pekerjaan dan pendedahan kepada mahasiswa," katanya.

Beliau berkata idea yang dicurahkan dalam Putrajaya FOI akan dibincangkan secara lanjut dan laporan diserahkan kepada Kabinet agar dapat digarap kerajaan demi pembangunan dan kemajuan negara.

Penganjuran Putrajaya FOI oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) buat julung kalinya telah mencatatkan lebih 100,000 pengunjung sekali gus membuktikan semangat golongan belia terhadap program meliputi pelbagai bidang antaranya sains dan keseniaan.

Ia juga merupakan satu inisiatif penting dalam usaha merakyatkan idea dan pendidikan tinggi secara besar-besaran selain mempromosi Malaysia sebagai pusat wacana intelektual serta inovasi di peringkat serantau dan global.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan