AM

Lebih 2,000 Sertai Larian Diabetes Dash Run SJMC

01/12/2024 03:34 PM

PETALING JAYA, 1 Dis (Bernama) -- Lebih 2,000 orang menyertai larian komuniti Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) yang memasuki edisi kelima tahun ini, "Diabetes Dash: Empowering Steps to Wellness," sempena Hari Diabetes Sedunia, bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai penyakit itu dan kepentingan pencegahan.

Acara itu mengumpulkan pelbagai kumpulan individu termasuk orang ramai, pelari profesional, petugas kesihatan dan kakitangan SJMC sendiri, dalam pelbagai kategori seperti Fun Run sejauh tiga kilometer (km) selain perlumbaan kompetitif 10km dan 21km.

Ketua Pegawai Ekskutif SJMC Bryan Lin berkata acara seperti Diabetes Dash mengetengahkan peranan penting amalan senaman dan diet seimbang dalam pencegahan diabetes.

“Rasa kemasyarakatan juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran dan menggalakkan masyarakat untuk mengutamakan kesihatan mereka dalam memerangi wabak yang semakin meningkat ini. Acara tahun ini mencerminkan komitmen berterusan kami kepada penjagaan kesihatan preventif.

“Setiap peserta hari ini menunjukkan tanggungjawab bersama untuk kesihatan dan kesejahteraan mereka, membuktikan bahawa usaha bersama boleh membawa kepada perubahan bermakna dalam membina masa depan di mana semua orang diperkasakan untuk mengawal kesihatan mereka,” katanya ketika berucap pada acara itu.

Sementara itu, Pakar Endokrinologi SJMC dan penasihat jawatankuasa larian berkenaan, Dr Hew Fen Lee berkata pengubahsuaian gaya hidup ialah strategi paling berkesan untuk mencegah perkembangan diabetes.

“"Ini boleh dicapai dengan mengurangkan pengambilan kalori harian dan kerap melibatkan diri dalam aktiviti fizikal seperti berlari, berjalan pantas, berenang atau berbasikal sekurang-kurangnya 150 minit seminggu,” katanya.

Diabetes terus menjadi masalah kesihatan yang ketara di Malaysia, dengan seorang daripada enam orang dewasa terkesan, iaitu kira-kira 3.6 juta orang atau 15.6% daripada populasi orang dewasa. Angka ini dijangka meningkat jika situasi tersebut tidak ditangani.

Sejak penganjuran pertamanya pada 2014, SJMC Run telah menjadi platform utama untuk meningkatkan kesedaran diabetes dan memperkasakan komuniti dalam menjaga kesihatan mereka.

Menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM21,600 tahun ini, larian itu bukan sahaja menekankan kepentingan pencegahan diabetes tetapi juga meraikan ulang tahun ke-39 kecemerlangan penjagaan kesihatan SJMC.

Bagi kategori 21km Terbuka Lelaki, Job Minacho Kamonde muncul sebagai pemenang dengan catatan masa 1 jam 13 minit 18 saat manakala Noor Amelia Musa mendapat tempat pertama dalam 21km Terbuka Wanita dengan catatan 1 jam 33 minit 41 saat.

Kategori 21km Veteran Lelaki dan Wanita Terbuka pula menyaksikan Mohd Nazri Ahmad dan Tiffany Lee masing-masing menduduki tempat teratas manakala Nikos Tai Lee Onn melepasi garisan penamat pada 34 minit 42 saat untuk menjuarai 10km Terbuka Lelaki dan Pauline Barbet mengungguli 10km Terbuka Wanita dengan catatan masa 42 minit 36 saat.

Pada acara itu, SJMC turut menyumbangkan peranti Pemantauan Glukosa Berterusan (CGM) dan glucometer bernilai RM19,000 kepada pesakit diabetes yang kurang bernasib baik menerusi pertubukan bukan kerajaan Action4Diabetes.

Sumbangan berkenaan membuktikan dedikasi SJMC dalam menyokong mereka yang memerlukan selain membantu menguruskan keadaan kesihatan mereka dengan berkesan.

. SJMC bari-baru ini telah menerima dua anugerah berprestij untuk usaha komunitinya: Anugerah Inisiatif Komuniti di Anugerah ACES 2024 dan Anugerah Program Jangkauan Kesihatan Komuniti di Anugerah Perniagaan ESG 2024, sekali gus mengetengahkan dedikasinya untuk memberi sokongan dan penjagaan kepada lebih ramai komuniti di sekitar hospital itu.

Bagi maklumat lanjut mengenai inisiatif terkini SJMC, layari https://subangjayamedicalcentre.com.

-- BERNAMA


 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan