BERITA TERGEMPAR | PM Anwar expresses condolences to the family of Egyptian Islamic movement activist Youssef Nada who passed away today | |
CYBERJAYA, 1 Dis (Bernama) -- Golongan belia Malaysia dan China penting dalam mengekalkan kejayaan hubungan diplomatik yang telah terjalin antara kedua-dua negara sejak 50 tahun, kata Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia-China (PPMC) Datuk Abdul Majid Ahmad Khan.
Bekas Duta Besar Malaysia ke China itu berkata golongan belia mempunyai tanggungjawab untuk mengekalkan semangat persahabatan dengan cara memahami dan menghargai bahasa dan budaya masing-masing.
“Seiring kita mengorak langkah menuju 50 tahun akan datang, tugas memastikan hubungan dan persahabatan kita dengan China terletak pada anda semua (golongan belia). Saya amat yakin bahawa banyak program telah disusun, semuanya bertujuan ke arah matlamat ini.
“Menerusi bahasa, persefahaman dan saling mempelajari antara satu sama lain akan mewujudkan penghayatan dan pemahaman lebih baik terhadap budaya masing-masing… bersama-sama kita mengharapkan untuk 50 tahun lagi persahabatan, kerjasama dan inovasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Suara Semua (SSC) di Limkokwing University of Creative Technology (Universiti Limkokwing) di sini hari ini.
SSC iaitu sebuah pertandingan nyanyian silang budaya dianjurkan oleh Kunkwan International Mandarin Learning Centre (Kunkwan), dengan kerjasama Universiti Limkokwing.
Pertandingan berkenaan menampilkan 10 peserta Melayu menyanyikan lagu Mandarin dan 10 peserta Cina mendendangkan lagu Melayu bertujuan mempromosikan pertukaran budaya dan mengeratkan hubungan antara Malaysia dan China.
Antara aktiviti utama pada karnival itu ialah pertandingan mewarna, galeri khas mempamerkan gambar sejarah hubungan diplomatik antara Malaysia dan China sejak 50 tahun lepas dan persembahan artis popular tanah air.
Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Pengasas Kunkwan Kent Ng dan Ketua Pegawai Jenama Kumpulan Universiti Limkokwing Datuk Tiffanee Marie Lim.
Sementara itu, Wong dalam ucapannya melahirkan keyakinan bahawa hubungan Malaysia-China akan terus berkembang kukuh pada masa hadapan.
Beliau turut mengulangi betapa pentingnya hubungan antara rakyat dalam memperkukuh kerjasama ke tahap lebih tinggi.
“Sambutan (ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China) tidak akan berakhir begitu sahaja. Sambutan akan diteruskan pada 2025 dan persahabatan antara Malaysia dan China pasti akan bertambah kukuh, lebih bermakna dan lebih berkesan.
“Sejak setahun lepas, (hubungan) kebanyakannya melibatkan kerajaan dengan kerajaan dan pemimpin perniagaan, namun kini amat penting untuk ada hubungan antara rakyat kerana rakyatlah yang membentuk Malaysia dan China,” katanya.
Malaysia menyambut ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik dengan China pada 31 Mei lepas.
Sepanjang dua dekad lepas, perdagangan dua hala telah berkembang lebih daripada lim akali ganda dan kini melebihi US$99 bilion, menjadikan China sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial