AM

Laluan Aring-Kenyir Ditutup Dengan Penghadang Konkrit, Elak Pemandu Degil

02/12/2024 07:19 PM

KUALA TERENGGANU, 2 Dis (Bernama) -- Kedua-dua laluan di Jalan Aring 8-Kenyir-Kuala Jeneris di Jalan Tasik Kenyir dekat Hulu Terengganu yang ditutup akibat tanah runtuh, telah diletakkan penghadang konkrit bagi mengelakkan terdapatnya pemandu kenderaan yang masih berdegil untuk melalui kawasan tersebut.

Ketua Polis Hulu Terengganu DSP Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata tindakan itu diambil, kerana pihaknya mendapati masih terdapat segelintir pemandu yang melalui jalan tersebut meskipun papan tanda jalan ditutup sepenuhnya telah pun diletakkan.

“Kita dapati ada juga orang awam yang masih degil membahayakan diri untuk melalui jalan tersebut walaupun sebahagian jalan itu telah runtuh, jadi pihak polis memang cukup ambil berat tentang perkara ini, kita harap dengan adanya blok-blok konkrit yang telah diletakkan oleh pihak JKR (Jabatan Kerja Raya) Hulu Terengganu, tidak ada lagi pemandu yang cuba masuk ke jalan tersebut,” katanya kepada Bernama.

Zainul Mujahidin berkata pihaknya menjangkakan jalan tersebut akan ditutup lebih lama bagi proses pembaikan berikutan runtuhan yang berlaku sepanjang 100 meter itu agak serius.

Semalam tular sebuah video di media sosial yang memaparkan sebuah pacuan empat roda cuba melalui jalan tersebut, meskipun terdapat mendapan dan runtuhan tanah di situ. 

Dalam perkembangan lain, Zainul Mujahidin mengingatkan penduduk Hulu Terengganu terutama yang tinggal berdekatan kawasan cerun dan lereng bukit, supaya sentiasa berhati-hati serta peka dengan keadaan sekeliling pada musim Monsun Timur Laut ini.

“Pada waktu hujan, kalau nampak di kawasan bukit ada air terjun kecil yang sebelum ini tidak pernah ada, penduduk perlu ambil perhatian dan melaporkan kepada pihak berkaitan serta segera berpindah ke PPS atau kawasan yang selamat. Ia mungkin menandakan terdapat mendapan tanah. Bukan situasi banjir sahaja perlu pindah,” katanya.

Pada petang Jumaat (29 Nov) lepas, dua beradik terkorban manakala seorang lagi cedera dalam runtuhan tanah yang berlaku di sebuah kediaman di Kampung Bukit Apit di Ajil dekat Hulu Terengganu. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan