AM

Sidang Kemuncak Global I-Nation 2024 Pacu Pertumbuhan Teknologi ASEAN

02/12/2024 09:25 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Sidang Kemuncak Global I-Nation 2024 berperanan sebagai platform penting menghimpunkan pelbagai sektor dan pihak berkepentingan dalam memacu kerjasama serta perkongsian rentas sempadan yang akan mempercepat kemajuan teknologi di ASEAN.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata sidang kemuncak selama tiga hari itu bertepatan dengan hasrat Malaysia untuk muncul sebagai hab teknologi terkemuka.

“Satu daripada bidang yang menyaksikan kemajuan pesat ialah tenaga boleh diperbaharui, dengan Malaysia di landasan untuk meningkatkan kapasiti kepada 31 peratus daripada campuran tenaga negara menjelang 2025.

“Peralihan ini bukan sahaja menyokong matlamat kemampanan negara tetapi juga meletakkan kita sebagai pemain utama dalam peralihan hijau di rantau ini yang menjadi  tumpuan utama menjelang Kepengerusian ASEAN pada 2025.

“Berpandukan tema ‘Keterangkuman dan Kelestarian’, kami komited memastikan semua negara ASEAN mendapat manfaat daripada kemakmuran bersama serta kemajuan teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian pada pelancaran sidang kemuncak itu anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) di sini hari ini. Majlis itu dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Chang berkata untuk mencapai matlamat itu memerlukan kerjasama merentas kementerian, agensi dan pihak berkepentingan dan menggunakan pendekatan Whole-of-Government (WGA), dasar yang berkesan bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan memperjuangkan pembangunan mampan di seluruh rantau berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata pembangunan Bandar Pintar adalah sejajar dengan keutamaan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN kerana ia mencerminkan prinsip keterangkuman dan kelestarian.

“Rangka kerja Bandar Pintar Malaysia mencerminkan visi itu dengan menggalakkan penggunaan kecerdasan buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT) dan penyelesaian digital untuk menangani cabaran bandar.

“Melalui inisiatif seperti Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS), syarikat inovatif seperti Vectolabs Technologies sedang mencatat kemajuan dalam bandar pintar dan pengangkutan melalui rangkaian inovatif LoRa IoT, menangani cabaran utama di bandar dan meningkatkan kecekapan operasi.

"Begitu juga, PropTech Sandbox yang dilancarkan baru-baru ini dengan kerjasama SP Setia, memupuk penyelesaian perumahan mampan sejajar dengan kerangka kerja antarabangsa seperti Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," katanya.

Selain itu, Chang berkata MOSTI melalui Pusat Inovasi Teknologi Industri (ITIC) memacu pembangunan bandar pintar dengan memajukan teknologi AI, IoT dan geospatial untuk meningkatkan keselamatan awam, kecekapan tenaga dan infrastruktur bandar.

“Bekerjasama dengan Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) dan Malaysia Smart City Alliance, ITIC mencerminkan dedikasi Malaysia dalam menggunakan teknologi canggih seperti AI, Realiti Lanjutan (XR) dan robotik untuk menambah baik kehidupan di bandar,” katanya.

Beliau berkata sidang kemuncak itu turut menganjurkan beberapa acara satelit yang menonjolkan kemajuan dalam beberapa bidang teknologi, antaranya ialah The Supercharger Summit, Malaysia HealthTech Innovation Connect 2024 dan Ecosystem Builder Summit.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan