DUNIA

Lawatan Kerja Setiausaha Agung ASEAN Perkukuh Kerjasama Malaysia-ASEAN

03/12/2024 03:53 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menjadi tuan rumah kepada Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn dalam satu majlis makan tengah hari kerja di sini pada Selasa, sempena lawatan kerja tiga hari Kao ke Malaysia yang bermula Isnin.

Lawatan Kao, ketika Malaysia bersiap sedia mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025, amat bermakna dalam memperkukuh kerjasama antara Malaysia dan Sekretariat ASEAN, sekali gus mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk memastikan kejayaan Kepengerusian Malaysia pada tahun depan.

Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Mohamad telah menggariskan keutamaan utama Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, termasuk mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau, meningkatkan integrasi ekonomi serta menggalakkan pertumbuhan yang inklusif dan mampan.

"Menteri Luar menegaskan komitmen Malaysia untuk terus mengekalkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau melalui dialog berterusan, diplomasi dan kerjasama yang berpaksikan prinsip Pemusatan ASEAN," menurut kenyataan itu.

Mohamad turut merakamkan penghargaan mendalam terhadap sokongan yang telah diberikan oleh Sekretariat ASEAN, khususnya melalui perundingan bersama pelbagai kementerian dan agensi Malaysia di bawah tiga tonggak Komuniti ASEAN.

"Beliau (Mohamad) mengalu-alukan nasihat dan sokongan berterusan Sekretariat ASEAN untuk memastikan kelancaran penganjuran mesyuarat ASEAN di Malaysia tahun depan," kata Wisma Putra.

Menteri Luar itu turut yakin bahawa sokongan tidak berbelah bahagi daripada Sekretariat ASEAN akan memainkan peranan penting dalam kejayaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Mohamad juga menegaskan sokongan kuat Malaysia terhadap penubuhan Unit Timor-Leste di Sekretariat ASEAN, dengan menekankan kepentingan unit itu dalam memudahkan keanggotaan Timor-Leste ke dalam ASEAN dan menyeru agar operasinya dipercepatkan, menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan