PASIR MAS, 3 Dis (Bernama) -- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melakukan tinjauan kawasan berisiko banjir sebagai persediaan untuk menghadapi gelombang bencana banjir seterusnya berikutan fenomena Monsun Timur Laut (MTL) yang akan berterusan hingga Mac tahun depan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ATM dengan dibantu agensi lain akan mengumpulkan maklumat kawasan yang dijangkakan berlaku bencana berkenaan sekali lagi.
“Kita ambil pengalaman daripada gelombang pertama dan kedua, saya percaya pihak tentera sudah tahu kawasan-kawasan yang berpotensi tinggi untuk dinaiki air sekali lagi.
“Tinjauan kawasan berpotensi banjir adalah supaya apabila berlakunya banjir, tentera sudah tahu mana satu laluan bot, mana satu rumah yang tahap bahayanya lebih tinggi daripada rumah lain, kawasan yang ada atau tiada bukit, ada lurah, tentera sudah melakukan tinjauan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Padang Gual Tinggi, Rantau Panjang, di sini, dengan diiringi Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Mohamed Khaled berkata beliau berpuas hati dengan penugasan ATM di bawah Op Murni bagi membantu pihak berkuasa tempatan dalam menyelamat dan memindahkan mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu, yang setakat ini melibatkan 71 pegawai dan 1,057 anggota sejak 27 Nov lepas.
“Kita masih ada (pasukan) simpanan, maknanya setelah beberapa minggu, ada yang boleh balik dan rehat di kem dan kemudian diganti, jadi setiap masa ada yang bertugas.
“Tetapi, jika keadaan bertambah buruk dan jumlah (mangsa) semakin meningkat, kita boleh keluarkan semua sekali yang ada di Kelantan dan Terengganu,” katanya.
Beliau turut mengingatkan kepada penduduk yang berhadapan dengan banjir di kediaman mereka untuk segera berpindah sebelum air naik terlalu tinggi bagi memastikan operasi menyelamat dijalankan ke kawasan yang benar-benar memerlukan.
“Jangan tunggu air naik hingga lutut, pinggang, bahu dan sebagainya. Jadi, dengan demikian sekurang-kurangnya apabila masyarakat sendiri buat keputusan untuk pindah, operasi boleh dikurangkan dan ditumpukan di kawasan memerlukan,” katanya.
Tentera Darat telah mengatur gerak aset-aset termasuk 90 trak dan 40 bot tempur bagi memberikan bantuan kepada mangsa banjir.
Mohamed Khaled berkata terdapat warga ATM yang terkesan akibat banjir kerana ada antara mereka yang tinggal dalam komuniti orang awam, namun perincian jumlah mereka yang terkesan akan diberikan kemudian.
Beliau berkata penugasan kawalan sempadan berjalan seperti biasa ketika bencana banjir kerana ia telah diaturkan lebih awal.
“Tugas kawalan sempadan berterusan kerana semua itu operasi yang sudah disediakan, banjir tak banjir, perang tak perang, apa-apa pun operasi itu mesti ada. Operasi tidak akan terhenti hanya kerana banjir atau bencana lain,” katanya.
Terdahulu, Mohammed Khaled menyampaikan sumbangan kepada tujuh mangsa banjir yang bertugas di Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia Tentera Darat yang terdiri daripada seorang pegawai, lima anggota lain-lain pangkat dan seorang awam yang menetap di Tumpat, Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh dan Bachok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial