AM

Hujan Berterusan Di Gua Musang, Penduduk Risau Tanah Runtuh

04/12/2024 01:46 PM

GUA MUSANG, 4 Dis (Bernama) -- Enam sekeluarga berdepan risiko tanah runtuh apabila tanah di sekitar rumah mereka mula terhakis akibat hujan berterusan di Simpang Jerek, di sini.

Mohammad Hazerel Ashraf Hazelan, 31, berkata pada kira-kira 11 malam Ahad lepas, laluan di KM35, Jalan Gua Musang-Jeli berdekatan Kampung Jerek menuju ke Jelawang telah runtuh. 

Beliau berkata ketika itu hujan berterusan dari pagi sehingga menyebabkan air daripada pembentung berhampiran rumahnya melimpah ke atas jalan. 

“Saya keluar melihat jalan raya KM35 sedang runtuh dan terperanjat melihat tebing tanah di tepi rumah dan bengkel telah runtuh ketika air pembentung surut. 

“Saya bergegas menuju ke bengkel yang terletak di hadapan rumah dan mengalihkan beberapa peralatan yang ada,” katanya kepada pemberita di Simpang Jerek, di sini. 

Mohammad Hazerel Ashraf berkata runtuhan berlaku bersama bunyi kuat yang mengejutkan isteri dan anak-anaknya yang berada di dalam rumah. 

“Ini kali pertama berlaku tanah terhakis sepanjang kami tinggal di sini sejak tujuh tahun lepas. Air daripada pembentung tersumbat kerana cuaca hujan dan membuatkan tanah di pinggir rumah mudah terhakis,” katanya.

Menurutnya, stor penyimpanan peralatan di bengkelnya turut berisiko untuk runtuh berikutan sebahagian tanah di bawah tapaknya telah terhakis.

Sementara itu, Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana daerah Gua Musang Nik Raisnan Daud berkata pihak berwajib kini giat mengesan pergerakan tanah yang berisiko mengakibatkan runtuhan kediaman penduduk. 

“Kita berharap pihak Jabatan Kerja Raya dapat melakukan pencegahan awal bagi mengelakkan tebing runtuh dan mengancam keselamatan penduduk yang tinggal di sekitar runtuhan Jalan Gua Musang-Jeli ini,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan