AM

KKM Rangka Pelan Tindakan Kesihatan Mental Kanak-Kanak Dan Remaja

04/12/2024 06:07 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) sedang merangka Pelan Tindakan Kesihatan Mental Kanak-kanak dan Remaja susulan peningkatan dua kali ganda kes kesihatan mental dalam kalangan pelajar sekolah dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata pelan yang akan dilancarkan tahun depan itu menggariskan langkah mitigasi isu kesihatan mental melibatkan golongan terbabit dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

“Menurut Laporan Tinjauan Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), masalah kesihatan mental melibatkan golongan itu merangkumi kumpulan umur kanak-kanak, remaja dan belia menunjukkan peningkatan 7.9 peratus atau 424,000 orang pada 2019 kepada 16.5 peratus atau 922,318 orang pada 2023.

“NHMS juga menunjukkan peningkatan prevalen tingkah laku bunuh diri dalam tempoh 10 tahun merangkumi idea bunuh diri daripada 7.9 peratus pada 2012 kepada 13.1 peratus (2022), pelan bunuh diri 6.4 peratus (2012) kepada 10 peratus (2022) dan cubaan bunuh diri 6.8 peratus (2012) kepada 9.5 peratus (2022),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) berhubung statistik isu kesihatan mental melibatkan pelajar sekolah dan IPT serta pendekatan polisi berlatarkan bukti yang diambil kementerian dalam menangani isu tersebut.

Lukanisman berkata antara langkah mitigasi lain termasuk penganjuran Program Minda Sihat Sekolah iaitu kolaborasi KKM dan Kementerian Pendidikan (KPM) yang dilaksanakan di 2,456 sekolah menengah dan 7,776 sekolah rendah.

“Selain itu KKM menyediakan perkhidmatan kesihatan mental yang boleh diakses di 1,088 klinik kesihatan, 68 hospital dan 37 Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI) dan penempatan 200 pegawai psikologi (kaunseling) Contract For Service (CFS) di daerah dan klinik kesihatan.

“KKM juga berusaha meningkatkan bilangan pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja kepada 30 orang menjelang 2027 kerana ketika ini hanya terdapat 18 pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja di hospital KKM,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) sama ada terdapat hubung kait penggunaan rokok elektrik atau vape dengan masalah mental, beliau berkata kajian terperinci mengenai perkara itu sedang dilaksanakan.

Sementara itu menjawab soalan berasingan oleh Tan Kar Hing (PH-Gopeng) tentang inisiatif kementerian dalam membantu individu terkesan secara psikologi kerana menjadi mangsa buli, Lukanisman berkata KKM sedia menawarkan khidmat kauseling dan sokongan psikososial, selain menggalakkan pihak universiti atau Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menjalankan saringan kesihatan mental secara konsisten melibatkan penuntut IPT.

“Kita sudah pun mempunyai aplikasi MySejahtera iaitu saringan kesihatan yang sangat mudah dengan satu klik dan juga mengikuti arahan-arahan di dalam MySejahtera dan kita dapat berinteraksi untuk membantu.

“Di bawah Talian HEAL 15555, kita menerima ratusan ribu panggilan dan hampir 62 peratus panggilan tersebut adalah panggilan untuk mendapatkan sokongan,” katanya.

Lukanisman berharap mangsa buli dapat segera menghubungi talian berkenaan dan pada masa sama, KKM juga sedang memperkasa kerjasama antara swasta dan awam untuk mengadakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang berkaitan dengan kesihatan mental.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan