AM

Situasi Banjir Di Kelantan Semakin Pulih - Nik Nazmi

04/12/2024 08:30 PM

KOTA BHARU, 4 Dis (Bernama) -- Situasi bencana banjir di Kelantan beransur pulih buat masa ini, namun penduduk perlu berwaspada untuk menghadapi gelombang seterusnya, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata walaupun banjir di negeri ini semakin baik, laporan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan cuaca yang signifikan dalam beberapa hari akan datang.

“Jadi, saya berpesan kepada semua rakyat Malaysia untuk mengikuti pengumuman rasmi yang dikeluarkan oleh MetMalaysia, NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) serta semua agensi berkaitan.

“Selain itu, saya juga mendapati kebanyakan keluarga mangsa banjir yang menetap di pusat pemindahan sementara (PPS) beransur pulang ke rumah masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program lawatan tinjauan bencana Monsun Timur Laut di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Ketereh, di sini hari ini.

Nik Nazmi berkata banjir pada tahun ini mengundang beberapa cabaran, namun ada juga penambahbaikan dari segi operasi kesiapsiagaan dan pengurusan banjir.

“Banyak yang kita belajar daripada insiden banjir besar sebelum ini, tetapi corak cuaca tahun ini sangat mencabar yang memberi kesan kepada mangsa banjir dan petugas terlibat,” katanya.

Pada Isnin lepas, MetMalaysia menjangkakan luruan monsun akan berlaku dari 8 hingga 14 Dis ini di timur Semenanjung dan keadaan itu berpotensi menyebabkan hujan berterusan di kawasan terbabit dalam tempoh berkenaan.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai pembinaan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok, Nik Nazmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Negeri Kelantan berkata kerajaan akan meneruskan pembinaan projek itu di sungai berkenaan sehingga ia dapat disiapkan.

"Keputusan membina PLSB bertujuan mengurangkan banjir … oleh itu, penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran sungai terbabit akan berdepan banjir sementara menunggu PLSB siap sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata projek itu amat diperlukan bagi mengurangkan bencana banjir untuk tempoh jangka masa panjang, justeru pelbagai aspek telah diambil oleh Jabatan Pengairan dan Saliran serta kontraktor sebelum ini berhubung projek berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan