AM

Budaya Sarapan Di Malaysia Diiktiraf Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO

05/12/2024 11:48 AM

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Budaya Sarapan di Malaysia kini mendapat tempat dalam Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengiktirafan Budaya Sarapan di Malaysia: Pengalaman Menjamu Selera Masyarakat Pelbagai Etnik itu diumumkan pada sesi ke-19 Jawatankuasa Antara Kerajaan untuk Pemeliharaan Warisan Budaya Tidak Ketara (IGC ICH) yang berlangsung di Asuncion, Paraguay dari 2 hingga 7 Dis.

Menurut MOTAC, Badan Penilai memutuskan Budaya Sarapan di Malaysia telah memenuhi semua kriteria yang digariskan oleh Konvensyen Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara 2003, UNESCO.

“Budaya Sarapan di Malaysia mencerminkan kepelbagaian budaya, keharmonian, penglibatan dan penerimaan masyarakat pelbagai etnik di Malaysia dan merupakan elemen warisan kebudayaan tidak ketara yang selari dengan kriteria UNESCO sekali gus memberi impak dalam hubungan sosial masyarakat serta mencerminkan kekuatan dalaman Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum.

“Kejayaan pengiktirafan budaya ini akan menggalakkan lebih banyak usaha perlindungan warisan tidak ketara dapat dilakukan secara sinergi melibatkan banyak pihak berkepentingan termasuklah kerajaan bersama persatuan dan komuniti tempatan selain membuka peluang jaringan kerjasama yang lebih luas dalam pelbagai bidang,” menurut kenyataan itu.

MOTAC melalui Jabatan Warisan Negara (JWN) telah mengemukakan dokumen pencalonan Budaya Sarapan di Malaysia kepada pihak sekretariat UNESCO pada 30 Mac 2023 dan ia merupakan pencalonan pertama yang berkaitan dengan makanan serta gastronomi Malaysia.

Menurut MOTAC, pengiktirafan terbabit juga membuktikan komitmen kementerian itu dalam melindungi warisan kebudayaan tidak ketara, sejajar dengan Teras 3 Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN), iaitu memfokus kepada usaha pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya.

Kementerian itu turut menyifatkan pengiktirafan Budaya Sarapan di Malaysia sebagai warisan tidak ketara UNESCO itu merupakan hasil kerjasama kolektif semua pihak yang terlibat khususnya warga MOTAC termasuk JWN serta pihak lain yang terlibat antaranya Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, Pejabat Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO dan Kementerian Luar.

“Pengiktirafan ini juga sekali gus menunjukkan kredibiliti Malaysia ke persada dunia sebagai calon yang selayaknya menduduki Kerusi Lembaga Eksekutif UNESCO bagi 2025-2029,” menurut kenyataan itu lagi.

Sebelum ini, Malaysia juga telah mendapat pengiktirafan di bawah Konvensyen Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara 2003, iaitu untuk Mak Yung pada 2005, Dondang Sayang (2018), Silat (2019), Upacara Ong Chun/Wangchuan/Wangkang yang merupakan pencalonan bersama China (2020), Pantun, pencalonan bersama Indonesia (2020), Songket (2021) dan Mek Mulung (2023).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan