KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Cadangan penubuhan Suruhanjaya Perundangan dan Undang-Undang memerlukan pertimbangan serta penelitian lebih mendalam terutama melibatkan dua faktor utama, iaitu kos dan duplicity.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata dalam aspek duplicity misalnya, Jabatan Peguam Negara (AGC) sudah mempunyai bahagian atau jabatan penyemakan dan pembaharuan undang-undang tersendiri.
“Mereka dianggotai pakar dan pengamal undang-undang, jadi kalau nak wujudkan suruhanjaya itu prosesnya bukan begitu mudah, terutama ambil kira aspek duplicity jabatan dan pegawai yang berkhidmat di dalam jabatan itu, di mana mereka nak ditempatkan.
“Kedua, aspek kos, suruhanjaya ini mesti wujud dengan akta bebas seperti (Suruhanjaya) yang sudah sedia ada di negara kita … perlu gerak fasa demi fasa, ambil kira cabaran kita termasuk dalam elemen undang-undang, kena lihat ketiga-tiga senarai Persekutuan, negeri-negeri dan bersama. Jadi, ia ambil banyak masa,” katanya.
Azalina berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengenai jangka masa penubuhan suruhanjaya berkenaan, pada persidangan Dewan Negara hari ini.
Mengulas lanjut, Azalina berkata ketika ini segala tindakan susulan berkaitan penubuhan suruhanjaya itu akan dipertimbangkan merujuk kepada hasil penilaian teliti yang sedang dilakukan Pasukan Reformasi Perundangan.
“Bagaimanapun, sebenarnya bila kita bercakap tentang isu suruhanjaya, persoalan utama ialah mengenai kerja reformasi institusi dan berkaitan undang-undang sedia ada, seperti undang-undang lapuk, jadi sebenarnya kerja kita tentang semua itu tetap berjalan, tak bererti kena ada suruhanjaya baru kerja jalan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial