AM

Pendakwah Perlu Berdakwah Dengan Ilmu, Hikmah Dan Akhlak Mulia – Mohd Na’im

05/12/2024 03:01 PM

PUTRAJAYA, 5 Dis (Bernama) -- Golongan pendakwah diingatkan agar menyampaikan dakwah dengan adab, hikmah dan akhlak mulia bagi memastikan mesej Islam diterima dengan baik oleh masyarakat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata kejadian yang tular di Indonesia melibatkan seorang pendakwah yang menyindir seorang penjual teh baru-baru ini, seharusnya menjadi pengajaran kepada semua untuk menjaga keperibadian dan akhlak dalam berdakwah.

“Tugas dakwah bukanlah mengajak orang untuk bergaduh dan bermusuhan. Dakwah juga tidak boleh dengan cara sindiran, cacian, makian apatah lagi merendah-rendahkan orang lain.

“Dakwah itu perlu dengan ilmu, hikmah disulami dengan senyuman serta akhlak budi yang memikat hati,” katanya dalam ucapan pada Majlis Anugerah Pendakwah Negara (APN) sempena Kemuncak Program Dakwah Negara 2024 di sini hari ini.

Merujuk surah An-Nahl, ayat 125, Mohd Na’im berkata Allah telah menetapkan panduan adab berdakwah yang harus diikuti iaitu berdakwah secara berhikmah, memberikan nasihat dan pengajaran yang baik serta berinteraksi atau berdialog dengan cara yang baik.

Mengulas insiden yang tular itu, beliau berkata walaupun pendakwah berkenaan telah meminta maaf kepada penjual teh, kejadian itu tetap menjadi peringatan kepada semua pihak.

“Walau setinggi mana ilmu atau ijazah kita, tetapi sekiranya akhlak kita pincang, ia tidak membawa apa-apa erti, dan kita tidak mampu menjadi qudwah atau teladan kepada orang,” katanya.

Baru-baru ini tular video memaparkan seorang pendakwah menghina seorang penjual teh ais dengan mengeluarkan perkataan biadap terhadap lelaki berkenaan semasa berceramah di wilayah Jawa Tengah, Indonesia, namun pendakwah itu kemudiannya dikatakan telah berkunjung ke rumah peniaga berkenaan dan memohon maaf.

Mohd Na’im seterusnya menekankan bahawa tugas dakwah tidak boleh dijalankan dengan cara yang menimbulkan perpecahan atau permusuhan dalam kalangan masyarakat.

“Inilah tanggungjawab kita sebagai pendakwah untuk menjadi qudwah kepada masyarakat,”  katanya, sambil berkata beliau berharap semua pendakwah akan terus komited dalam menyampaikan mesej Islam secara berkesan, menjaga adab dan menjadikan dakwah sebagai jalan membawa kebaikan kepada umat manusia.

Program APN 2024 anjuran Yayasan Dakwah Islamiyah (YADIM) hari ini bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan pendakwah dalam melestari gerakan dakwah, dangan edisi kedua tahun ini meraikan 13 pemenang daripada pelbagai kategori melibatkan individu, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan.

Mohd Na’im turut melancarkan buku “Nooh Gadot Tokoh Pendakwah Tersohor Johor” pada program hari ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan