AM

TalentCorp Buat Kajian Kesan Pelaksanaan Aturan Kerja Fleksibel Kepada Produktiviti - Sim

05/12/2024 04:01 PM

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), akan menjalankan kajian terhadap syarikat yang telah melaksanakan Aturan Kerja Fleksibel (AKF), kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Beliau berkata kajian yang dijalankan dalam tempoh enam bulan akan datang itu bertujuan melihat kesan pelaksanaan AKF terhadap produktiviti syarikat dan pekerja.

“Kita ada laporan antarabangsa yang menyatakan produktiviti tidak terjejas, tetapi untuk KESUMA kita juga ingin melihat dalam konteks Malaysia,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Garis Panduan AKF di sini hari ini.

Sim berkata garis panduan itu mengandungi elemen-elemen penting yang perlu diketahui oleh semua pihak, khususnya pekerja dan majikan dalam pelaksanaan AKF.

“Ini termasuklah takrifan, kaedah melaksanakan, tatacara permohonan oleh pekerja, tanggungjawab pekerja dan juga tanggungjawab majikan dalam proses pelaksanaan AKF,” katanya.

Sim berkata sehingga Oktober lepas, hampir 3,000 syarikat melibatkan lebih 565,000 pekerja menunjukkan potensi transformasi AKF, selepas menyertai bengkel yang dilaksanakan oleh TalentCorp.

Bagi menggalakkan lebih banyak syarikat melaksanakan AKF, Sim berkata TalentCorp dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), akan mempergiat kempen dan bengkel untuk memberi bimbingan berhubung pelaksanaan AKF mengikut kesesuaian masa, tempat dan golongan sasar.

Sim berkata kempen berkenaan akan dimulakan di bandar-bandar besar seperti Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru, yang menjadi lokasi tumpuan syarikat korporat serta perusahaan kecil dan sederhana.

“Dengan pelaksanaan AKF ini, kita harap ia dapat mengurangkan sedikit kesesakan lalu lintas apabila waktu kerja lebih anjal atau bekerja daripada rumah atau bekerja di lokasi yang lebih dekat dengan rumah.

“Kita juga yakin dengan mewujudkan satu persekitaran kerja yang lebih kondusif, fleksibel dan mengimbangkan antara kehidupan dengan pekerjaan, ia dapat memberi kelebihan kepada syarikat terutamanya dalam mengekalkan bakat tenaga kerja untuk berkhidmat di syarikat itu,” katanya.

Terdahulu, TalentCorp memaklumkan satu soal selidik melalui e-mel yang dihantar kepada syarikat swasta terpilih antara 9 hingga 5 Okt mendapati, 78 syarikat telah melaksanakan AKF dan 46 syarikat lagi meluluskan permohonan AKF daripada pekerja mereka.

Soal selidik itu turut mendapati 11,272 pekerja diluluskan permohonan AKF, dengan jenis paling banyak dipohon ialah waktu kerja fleksibel, tempat kerja fleksibel dan hari kerja fleksibel.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan