AM

Tiada Kebocoran Data MyKad - JPN

05/12/2024 04:25 PM

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan tiada insiden kebocoran data MyKad atau transaksi mencurigakan dikesan dalam sistem jabatan berkenaan.

JPN dalam kenyataan hari ini memaklumkan hasil siasatan menunjukkan tiada kes seperti itu pernah berlaku, dan pihaknya telah berhubung dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membolehkan pihak berkaitan melakukan siasatan lanjut.

“JPN akan sentiasa memastikan keselamatan dan integriti data rakyat Malaysia di bawah jagaan JPN supaya terjamin dan dilindungi,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan memberi jaminan bahawa integriti data penduduk, termasuk maklumat MyKad sentiasa dijaga dengan teliti.

Ketua Pengarah NACSA Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin pula memaklumkan analisis awal mendapati dakwaan itu bukan sampel pelanggaran data baharu.

Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Rohaimi Md Isa turut mengesahkan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan kebocoran data MyKad, dan pemantauan akan terus dilakukan bagi memastikan kesahihan maklumat itu.

Sebelum ini, akaun X Fusion Intelligence Center @ StealthMole mendakwa data MyKad 17 juta rakyat Malaysia telah bocor dan dijual di ‘dark web’ atau laman web tertutup.

Akaun itu juga memuat naik sampel kad pengenalan yang didakwa bocor, menimbulkan kebimbangan terhadap risiko kecurian identiti dan penipuan kewangan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan