BERITA TERGEMPAR | PM Anwar expresses condolences to the family of Egyptian Islamic movement activist Youssef Nada who passed away today | |
KDN TERIMA 39,829 PERMOHONAN KEWARGANEGARAAN DARI 2019 HINGGA 30 SEPT LEPAS
KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerima sebanyak 39,829 permohonan kewarganegaraan bagi tempoh 2019 sehingga 30 Sept lepas, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menterinya Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata daripada jumlah itu, sebanyak 6,018 permohonan yang merangkumi semua perkara kewarganegaraan telah diluluskan berdasarkan pengeluaran sijil kewarganegaraan.
Dalam pada itu, beliau berkata KDN mengeluarkan 17,452 keputusan kewarganegaraan sehingga 1 Okt lepas, melebihi sasaran kementerian iaitu 17,000 permohonan bagi semua Perkara di bawah Perlembangaan Persekutuan merangkumi permohonan tertunggak dan tahun semasa yang diterima dapat dikeluarkan pada tahun ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) berhubung jumlah permohonan untuk kewarganegaraan Malaysia yang tertunggak pada akhir tahun 2022 dan berapa jumlah kes tersebut yang telah diproses dan jumlah diluluskan sehingga hari ini, serta jumlah permohonan bagi tempoh 2023 hingga September 2024.
-- BERNAMA
AHLI PARLIMEN GESA SEMUA PIHAK SOKONG PINDAAN AKTA 588
KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Beberapa Ahli Parlimen hari ini menggesa semua pihak menyokong usaha Kerajaan MADANI meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bagi menangani jenayah berkaitan dengan media sosial, termasuk penipuan dan perjudian dalam talian, pornografi kanak kanak dan bahan penderaan seksual kanak-kanak.
Ahli Parlimen Tanjong Karang Datuk Dr Zulkafperi Hanapi berkata cadangan pindaan itu adalah demi melindungi rakyat Malaysia, terutama golongan kanak-kanak dan remaja daripada ancaman yang semakin meningkat di platform digital.
“Kami yakin Kerajaan MADANI dapat memperketat penguatkuasaan undang-undang untuk membanteras aktiviti haram di platform media sosial dan mengawal penyebaran bahan terlarang yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
“Langkah ini juga bagi memastikan platform digital bertanggungjawab memantau kandungan dan mencegah penyalahgunaan, selain membantu membina persekitaran digital yang lebih selamat, bertanggungjawab dan harmoni untuk semua lapisan masyarakat,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen hari ini, yang turut disertai Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial