AM

Banjir : Sektor Pertanian Di Kelantan Kerugian Mencecah RM10 Juta - KADA

05/12/2024 05:59 PM

TUMPAT, 5 Dis (Bernama) -- Sektor pertanian di negeri Kelantan dianggarkan mengalami kerugian mencecah RM10 juta termasuk kerosakan infrastruktur, susulan banjir gelombang fasa pertama yang berlaku pada akhir bulan lepas.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Khalid Samad berkata antara daerah yang terjejas ialah daerah Kota Bharu Utara, Kota Bharu Selatan, Pasir Puteh, Bachok, Pasir Mas dan Tumpat.

Beliau berkata sebahagian kerugian setakat ini yang melibatkan keluasan tanah 696 hektar telah dilindungi oleh takaful yang dicarum oleh petani, manakala 981 hektar tidak sempat didaftarkan takaful.

“Sebahagian besar tanah sawah yang terkesan dilindungi oleh takaful kerana kita sempat menggalakkan petani untuk mendaftar. Setakat ini, mengikut rekod yang diperolehi sebanyak 696 hektar dilindungi oleh takaful manakala 981 hektar lagi tidak sempat didaftarkan.

“Perlindungan takaful itu ia membabitkan tanaman yang kurang daripada 70 hari dengan mereka akan mendapat pampasan sebanyak RM2,250 untuk satu hektar tanah, manakala yang tidak dilindungi oleh takaful akan dibantu oleh Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan menerusi tabung bencana sedia ada,” katanya kepada pemberita di Program Turun Padang KADA di Kampung Talak, di sini hari ini.

Khalid berkata bantuan kepada mereka yang tidak sempat mencarum dengan takaful akan diusahakan secepat mungkin iaitu selewat-lewatnya sebelum bulan Ramadan nanti.

“Untuk mendapatkan butiran secara lengkap membabitkan mereka yang terlibat, kita kena turun padang mungkin ia dapat diselesaikan selepas surut banjir secara menyeluruh.

Mungkin memakan masa dua hingga tiga bulan sebelum kita membuat permohonan (bantuan) kepada Kementerian,” katanya.

Sementara itu, seorang pesawah yang terkesan Eh Nong Eh Dam, 46, dari Bendang Pauh di Tumpat berkata beliau mengalami kerugian mencecah hampir RM30,000, selepas padi yang diusahakan seluas 20 ekar, tidak dapat dituai berikutan ditenggelami banjir.

“Sejak saya menjadi pesawah lebih 20 tahun lalu ini merupakan kerugian terbesar yang perlu ditanggung termasuk kerosakan alatan pertanian seperti pam air, enjin, benih padi dan sebagainya, walaupun saya telah meletakkan ditempat yang tinggi iaitu lebih satu meter.

“Saya berharap nasib saya serta hampir 200 pesawah lain disekitar Tumpat ini terbela dan mendapat perhatian daripada kerajaan negeri mahupun kementerian, dengan menyalurkan bantuan yang sewajarnya demi mengurangkan beban golongan pesawah seperti kami,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan