BERITA TERGEMPAR | PM Anwar expresses condolences to the family of Egyptian Islamic movement activist Youssef Nada who passed away today | |
GURUN, 5 Dis (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyokong penuh kerjasama awam-swasta antara Bioeconomy Corporation dan syarikat BioNexus, Free The Seed Sdn Bhd dalam memacu industri terbiodegradasi di Kedah melalui pemprosesan sisa jerami padi menggunakan enzim bioteknologi.
Menterinya Chang Lih Kang berkata inisiatif itu dapat menghasilkan produk pembungkusan terbiodegradasi untuk pasaran tempatan dan antarabangsa dengan nilai pasaran dianggarkan mencecah RM60 juta mulai 2025 merangkumi negara seperti Jerman, Belanda, Jepun dan United Kingdom.
“Kerjasama ini berjaya mewujudkan rantaian nilai yang memberi peluang pendapatan tambahan kepada pesawah dan komuniti setempat. Kedah kini bukan sahaja pengeluar utama padi di Malaysia tetapi hab kepada sisa jerami padi diubah menjadi 'emas hijau' menerusi aplikasi bioteknologi.
“Lanjutan daripada kerjasama antara Bioeconomy Corporation dan Free The Seed, pesawah dari kawasan ini dijangka menjana pendapatan tambahan sebanyak RM3 juta setahun hasil daripada penjualan sisa jerami padi,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan MOSTI hari ini.
Beliau berkata setakat ini, 618 pesawah telah menyertai projek tersebut dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 3,700 pesawah apabila operasi penuh dimulakan pada 2025.
Tambah beliau ia membuktikan potensi besar bioteknologi dalam mengubah sisa jerami padi menjadi ‘emas hijau’ yang memainkan peranan penting dalam menjana pendapatan peladang, mencipta peluang pekerjaan, memacu ekonomi kitaran dan menyokong kelestarian alam sekitar selari dengan Dasar Bioteknologi Negara 2.0 serta agenda pembangunan mampan negara.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata tambahan kapasiti kerjasama itu dijangka mencapai pengeluaran sebanyak 120 juta unit produk pembungkusan terbiodegradisasi setahun untuk pasaran perubatan, makanan, perindustrian dan elektronik.
“Melalui sesi libat urus industri serta akses kepada pihak berkepentingan dalam sektor awam dan swasta, Bioeconomy Corporation telah menyokong Free The Seed dalam mengembangkan pasaran mereka.
“Pada awalnya tertumpu kepada pembungkusan makanan dan penjagaan kesihatan untuk pasaran eksport, mereka kini berjaya memasuki sektor baharu termasuk penjagaan kesihatan tempatan, industri semikonduktor, dan industri tenaga mampan,” katanya.
Mohd Khairul Fidzal berkata sokongan itu juga membantu Free The Seed meningkatkan kapasiti pengeluaran untuk memenuhi permintaan pasaran yang semakin berkembang dalam sektor berkenaan.
“Ia juga berjaya mencipta penambahan sebanyak 120 peluang pekerjaan baharu dengan 30 peratus terdiri daripada pekerja berkemahiran TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional),” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial