BERITA TERGEMPAR   PM Anwar expresses condolences to the family of Egyptian Islamic movement activist Youssef Nada who passed away today | 
 AM

TIMSS 2023: Lemah Konsep Asas Antara Cabaran Pembelajaran Matematik Dan Sains

05/12/2024 07:31 PM

PUTRAJAYA, 5 Dis (Bernama) -- Efikasi kendiri digital yang sederhana dan rendah, kurang pengetahuan konsep asas Matematik dan Sains, serta murid tidak yakin terhadap kedua-dua subjek itu adalah antara cabaran yang dikenal pasti Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi penglibatan Malaysia dalam Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) 2023.

TIMSS merupakan kajian penandaarasan antarabangsa bagi menilai pencapaian murid tingkatan dua dalam mata pelajaran Matematik dan Sains di samping menganalisis dapatan soal selidik murid, sekolah, kurikulum serta guru kedua-dua subjek itu. 

Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan berkata dapatan TIMSS 2023 menunjukkan murid kekurangan pengetahuan dalam konsep asas Matematik dan Sains sejak dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah dan berdasarkan dapatan soal selidik, guru menyatakan 40.8 peratus murid tiada pengetahuan atau kemahiran asas dalam Matematik manakala 26.5 peratus dalam Sains.

“Murid juga tidak mempunyai keyakinan untuk mempelajari Matematik dan Sains, meskipun mereka menghargainya. Sebanyak 70 peratus murid tidak yakin dalam Matematik manakala 49 peratus tidak yakin dalam Sains, dan ketiadaan keyakinan boleh dikaitkan dengan pencapaian yang rendah,” katanya ketika mengumumkan pencapaian Malaysia dalam TIMSS 2023 di sini, semalam.

Azman berkata kelemahan penguasaan murid dalam pengetahuan, konsep serta kemahiran asas Matematik dan Sains menjadi semakin ketara apabila berlaku penutupan sekolah sewaktu pandemik COVID-19. Kohort sampel murid tersebut ketika itu berada di tahun lima (pada tahun 2020) serta di tahun enam (2021).

Peralihan TIMSS 2023 kepada pentaksiran berasaskan komputer sepenuhnya menyaksikan perkaitan efikasi kendiri digital murid yang sederhana dan rendah dengan ketidaklaziman mereka menggunakan komputer dalam menjawab soalan dan murid didapati kekok untuk mengendalikan peralatan dan aplikasi ujian TIMSS 2023.

Mengulas mengenai pencapaian Malaysia dalam Matematik dan Sains TIMSS 2023, beliau berkata purata skor Matematik murid Malaysia dalam TIMSS 2023 adalah 411 mata, menurun berbanding TIMSS 2019 (461 mata) dengan perbezaan sebanyak 50 mata. Sementara purata skor murid Malaysia dalam Sains TIMSS 2023 (426) telah menurun berbanding TIMSS 2019 (465), dengan perbezaan sebanyak 39 mata.

“Secara keseluruhannya terdapat penurunan peratus pencapaian murid dalam Matematik dan Sains berdasarkan aras penandaarasan antarabangsa. Hanya satu peratus sahaja pencapaian murid Malaysia dalam Matematik berada pada aras tertinggi.

"...manakala 48 peratus pencapaian murid Malaysia memperolehi skor bawah 400 mata iaitu dalam kategori tidak mencapai aras penandaarasan antarabangsa," katanya.

Beliau berkata hanya satu peratus sahaja pencapaian murid Malaysia dalam Sains berada pada aras tertinggi manakala 39 peratus pencapaian murid Malaysia memperolehi skor bawah 400 mata iaitu dalam kategori tidak mencapai aras penandaarasan antarabangsa.

Secara am katanya jurang perbezaan purata skor Matematik dan Sains antara murid di bandar dan luar bandar dalam TIMSS 2023 adalah semakin mengecil berbanding jurang dalam pusingan TIMSS sebelumnya.

“Ini satu tanda perkembangan positif dalam sistem pendidikan yang lebih inklusif dan adil. Apabila jurang pencapaian ini berjaya dirapatkan, ia menunjukkan bahawa usaha untuk menyediakan peluang pembelajaran yang seimbang bagi semua murid, tanpa mengira lokasi geografi, telah membuahkan hasil,” kata Azman.

“Terdapat murid yang memperoleh purata skor melebihi 700 mata dengan skor tertinggi yang pernah dicapai oleh murid Malaysia iaitu 789 mata untuk Matematik dan 766 mata untuk Sains," katanya.

Beliau berkata biarpun akur dengan pencapaian berkenaan namun ia akan dijadikan titik tolak bagi KPM membaiki kualiti pembelajaran Matematik dan Sains, lebih-lebih lagi menerusi Kurikulum 2027 yang sedang dirangka KPM.

Azman turut menggariskan beberapa langkah susulan dan pedagogi pendidikan oleh KPM bagi menambah baik keberhasilan pembelajaran di samping membangunkan bakat tersedia masa hadapan.

Ia merangkumi tindakan Jawatankuasa Perancangan Strategik Pencapaian Penandaarasan Antarabangsa untuk merancang dan memantau intervensi yang lebih berstruktur dan sistematik, mengukuhkan latihan pedagogi guru dan penataran kerangka pentaksiran dan 'released item' serta mengadakan sesi libat urus dan Persidangan Meja Bulat Pencapaian Malaysia dalam TIMSS.

Guru dalam perkhidmatan juga akan diberikan latihan untuk meningkatkan profesionalisme keguruan mereka secara teori dan amali atau pembelajaran menerusi pengalaman.

Pentaksiran TIMSS 2023 di Malaysia berasaskan komputer sepenuhnya secara 'offline' telah dilaksanakan bermula 4 Sept hingga 12 Okt 2023 di 180 buah sekolah seluruh negara. Sebanyak 44 negara termasuk Malaysia dan tiga peserta penandaarasan TIMSS Gred Lapan terlibat dalam pusingan TIMSS 2023 serta negara serantau hanya diwakili Malaysia dan Singapura.

Pada TIMSS 2023, domain kandungan pentaksiran Matematik meliputi nombor, algebra, geometri dan pengukuran, serta data dan kebarangkalian, manakala pentaksiran Sains meliputi Biologi, Kimia, Fizik, dan Sains Bumi.

Domain kognitif pentaksiran Matematik dan Sains dalam TIMSS berfokus kepada mengetahui, mengaplikasi dan menaakul.

Laporan Antarabangsa TIMSS 2023 boleh dimuat turun daripada laman sesawang International Association for the Evaluation of Educational Achievement (IEA) melalui pautan https://www.iea.nl/studies/iea/timss dan Laporan Awal Pencapaian Malaysia dalam TIMSS 2023 boleh didapati di laman sesawang KPM di pautan https://www.moe.gov.my mulai hari ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan