AM

BDDA Peruntuk RM60 Juta Perhebat Transformasi Bukit Saban Sebagai Hab Pengeluar Makanan - Uggah

05/12/2024 08:07 PM

SPAOH (Sarawak), 5 Dis (Bernama) -- Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) akan memperuntukkan sebanyak RM60 juta tahun depan untuk memperhebat usaha menjadikan kawasan DUN Bukit Saban sebagai hab pengeluaran makanan.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, mengumumkan perkara itu semasa mesyuarat bersama jawatankuasa cawangan PBB Bukit Saban di Rh Mendit Unsu, Penom, hari ini.

*"Penduduk kita perlu dibimbing untuk merebut peluang yang ada dalam aktiviti pilihan mereka. Kami telah mengenal pasti tanaman sawit, lada, padi, buah-buahan, dan sayur-sayuran selain penternakan ayam dan babi sebagai sektor yang berpotensi berkembang.

"Industri kecil seperti pembuatan kek dan sulaman Baju Kebaya juga akan dipromosikan,"* katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat tersebut.

Bagi tujuan pemasaran, beliau berkata Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) bernilai RM17 juta di Bebuling kini hampir siap.

Uggah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, berkata fasiliti termasuk mesin untuk pengeringan produk, pembungkusan, dan pembekuan mendalam kini dalam proses disiapkan. STOLport Bebuling yang dijangka beroperasi pada Ogos tahun depan akan menyediakan pengangkutan pantas untuk produk siap ke pasaran luar.

Beliau berkata, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan beberapa agensi lain akan membantu dari segi akses pasaran dan promosi, sambil menekankan kepentingan teknik pertanian moden seperti fertigasi dan hidroponik yang telah terbukti berjaya dalam kalangan petani tempatan.

"Kami berharap untuk melatih lebih ramai petani mengenai konsep ini di Agropark Bebuling. Taman ini akan merangkumi 65 hektar kawasan untuk pertanian rumah hijau dan 300 hektar untuk aktiviti pertanian lain," katanya.

Menurut beliau kejayaan petani meningkatkan pendapatan mereka adalah penting kerana walaupun Sarawak berstatus wilayah berpendapatan tinggi, namun masih terdapat komuniti yang memerlukan sokongan untuk memperbaiki taraf hidup mereka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan