AM

99 Aduan Pelupusan Bahan Buangan Terjadual Secara Haram Direkodkan - Nik Nazmi

05/12/2024 08:59 PM

PORT DICKSON, 5 Dis (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) merekodkan 99 aduan berhubung pelupusan bahan buangan terjadual secara haram di seluruh negara sejak Januari hingga kini. 

Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata daripada jumlah itu, 13 kes didapati mempunyai asas kukuh dan telah diambil tindakan penguatkuasaan.

Justeru, beliau berkata pihaknya komited mengatasi isu tersebut termasuk memperhalusi Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 fasa kedua dengan mengambil kira perkara dan cabaran baharu dalam perundangan alam sekitar sekali gus memastikan ia lebih berkesan.

“Sebab itu (untuk atasi) kita dah buat pindaan kepada AKAS, dulu denda maksimum hanya RM100,000 tetapi sekarang dah RM10 juta dan penjara mandatori lima tahun.

“Menuju ke 2025, kita dalam proses memperkasakan lagi JAS...kita sekarang sedang dapatkan input, libat urus dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi pelupusan sisa terjadual secara haram yang turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun di sini hari ini.

Nik Nazmi turut mengingatkan pihak industri bahawa tindakan tegas di bawah AKAS 1974 akan dikenakan ke atas mana-mana premis yang terus melakukan pencemaran alam sekitar yang pastinya memberi kesan kepada persekitaran dan orang ramai.

Mengenai penemuan tapak pelupusan buangan terjadual tersebut, Nik Nazmi berkata hasil siasatan mendapati dua lokasi telah dijadikan tapak pelupusan haram yang berkedudukan kira-kira 200 meter antara satu sama lain.

Beliau berkata terdapat kira-kira 800 tong dram dan tangki intermediate bulk containers (IBC) dipercayai mengandungi sisa kimia yang dilupuskan secara haram di kedua-dua lokasi itu dengan ia terlindung di sebalik tembok berketinggian tiga meter.

“Keputusan analisis sampel buangan daripada Jabatan Kimia Malaysia mendapati bahan buangan yang dilupuskan secara haram itu disyaki cecair mengandungi sebatian pelarut terpakai serta bahan pepejal dan bekas dicemari bahan kimia serta buangan terjadual,” katanya.

Beliau berkata proses pemindahan bahan buangan dari lokasi pertama ke tempat penyimpanan sementara selesai sepenuhnya dengan bantuan pemilik tanah manakala bahan buangan di lokasi kedua dalam proses pembersihan berikutan tiada jalan masuk ke kawasan itu, dengan anggaran kos pembersihan hampir RM1.2 juta.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata keputusan kerajaan meneliti cadangan daripada hasil kajian Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) untuk membina tebing tinggi di seluruh kawasan pantai bagi mengatasi banjir pastinya akan mengambil kira impak terhadap alam sekitar.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata cadangan yang pernah dibangkitkan kira-kira 20 tahun lepas itu, boleh diusahakan selepas projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negara selesai dilaksanakan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan