AM

Projek Keselamatan Jalan Raya RM3.5 Juta Siap Dilaksanakan - JKR Labuan

05/12/2024 11:46 PM

LABUAN, 5 Dis (Bernama) -- Jabatan Kerja Raya (JKR) Labuan telah menyiapkan 15 projek menaik taraf infrastruktur keselamatan jalan raya bernilai RM3.5 juta di pulau itu tahun ini.

Pengarah JKR Labuan Mohd Faizul Mohd Ali Hanapiah berkata antaranya menaik taraf simpang tiga Mohammed Salleh-Penghulu Tuah, memasang lampu isyarat di kawasan kemalangan di Kinabenuwa dan pemasangan lampu jalan LED di Taman Orkid serta kawasan yang kurang pencahayaan di seluruh Labuan. 

Beliau berkata selain itu, lintasan pejalan kaki dan lampu isyarat turut dipasang di Sekolah Kebangsaan Bebuloh dan Sekolah Rendah Agama Patau-Patau bagi meningkatkan keselamatan pemandu serta pejalan kaki.

"Penambahbaikan lain termasuk mengecat persimpangan utama dan zon menunggu motosikal menggunakan sistem permukaan berwarna berasaskan resin untuk meningkatkan pengurusan trafik.

“Inisiatif ini mencerminkan pendekatan menyeluruh kami dalam mengurus keselamatan jalan raya yang telah pun menunjukkan hasil positif,” katanya pada majlis penyerahan projek menaik taraf persimpangan Mohammed Salleh-Penghulu Tuah di sini hari ini.

Beliau berkata sebagai sebahagian daripada Pelan Tindakan Bandar Pintar Labuan 2030, jabatan itu mengutamakan penyelesaian mampan dan berteknologi tinggi.

“Usaha ini termasuk pemasangan lampu LED bertenaga solar yang cekap tenaga serta pelaksanaan isyarat trafik pintar untuk mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan mampan,” katanya.

Mohd Faizul berkata statistik polis Labuan menunjukkan jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya berkurang 70 peratus setakat November 2024 berbanding tahun sebelumnya yang membuktikan keberkesanan langkah keselamatan yang dilaksanakan.

Beliau juga menekankan kejayaan menaik taraf persimpangan Mohammed Salleh-Penghulu Tuah, yang sering menjadi lokasi kemalangan sebelum ini. 

“Projek ini bukan sahaja meningkatkan keselamatan jalan raya tetapi juga kualiti hidup masyarakat dengan mengurangkan kemalangan dan mewujudkan persekitaran yang lebih selamat,” katanya.

Beliau berkata jabatan itu komited untuk terus menyelenggara dan menaik taraf infrastruktur jalan di pulau ini, meliputi 139.131 kilometer jalan Persekutuan, 11 jambatan, 2,162 lampu jalan, 28 persimpangan lampu isyarat, 39 persimpangan dan lapan lampu isyarat pejalan kaki.

“Melangkah ke hadapan, jabatan ini akan terus menjalankan program keselamatan jalan raya secara tahunan untuk memastikan keselesaan dan keselamatan semua pengguna jalan raya di pulau ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan