AM

CelcomDigi Peruntuk RM2 Juta Bantuan Banjir

06/12/2024 09:00 AM

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) memperuntukkan RM2 juta bagi bantuan keperluan penting kepada komuniti yang terjejas dengan bencana banjir di seluruh negara.  

CelcomDigi dalam kenyataan memaklumkan antara yang disediakan termasuk barangan kegunaan peribadi dan isi rumah, kesalinghubungan Internet di pusat pemindahan sementara (PPS) serta pelbagai bantuan pemulihan lain yang boleh memanfaatkan kira-kira 7,000 keluarga.

Menurut kenyataan itu syarikat tersebut turut bekerjasama dengan Malaysian Relief Agency (MRA) bagi mempercepatkan penghantaran bantuan kepada penduduk terjejas.

“Selain itu, CelcomDigi juga menyediakan kenderaan pacuan empat roda, bot penyelamat dan sukarelawan kepada MRA serta peralatan penting seperti stesen pengecas mudah alih, pam air dan jet, set dapur serta generator.

“Kesemua ini sedang dihantar ke kawasan yang terjejas teruk untuk membantu mangsa yang terkandas,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan inisiatif lain bagi membantu komuniti setakat ini adalah penyediaan sambungan WiFi melalui unit Fixed Wireless Access (FWA) diperuntukkan untuk 200 pusat bantuan banjir.

Selain itu, langkah proaktif mengukuhkan tapak dan struktur rangkaian telekomunikasi di kawasan berisiko tinggi banjir untuk melindungi peralatan radio dan elektronik turut dilaksanakan.

Pasukan operasi berada dalam keadaan siap siaga 24 jam untuk turun ke kawasan terjejas dengan penjana kuasa dan stesen pemancar mudah alih.

CelcomDigi juga menyebarkan lebih 200 khidmat pesanan ringkas (flash-SMS) amaran dan maklumat penting kepada lebih 2.5 juta orang di kawasan berisiko banjir dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana (NADMA), serta menerbitkan kit keselamatan dan pengurusan banjir dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

“Kit ini mengandungi panduan keselamatan penting untuk meningkatkan kesedaran mengenai tindakan yang disyorkan sebelum, semasa dan selepas banjir dan tersedia melalui platform media sosial CelcomDigi serta aplikasi Celcom Life dan MyDigi,” katanya.

Menurut CelcomDigi syarikat itu memberi fokus kepada kelancaran perkhidmatan bagi memastikan pelanggan di zon yang terjejas kekal berhubung dan rakan perniagaan serta pengedar dapat terus melayani pelanggan dengan gangguan paling minimum.

CelcomDigi akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan, industri, dan agensi bantuan untuk usaha bersama dalam memperluas capaian dan membantu sebanyak mungkin keluarga yang terjejas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan