BUKIT MERTAJAM, 6 Dis (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang membongkar kegiatan sindiket yang mengubah suai kontena menjadi gudang memproses dan menyimpan arak tiruan di Permatang Batu, Perda di sini, semalam.
Ketua Pegawai Penguat kuasa negeri Mohd Suffian Mohd Abbas berkata pelbagai barangan serta kelengkapan yang digunakan bagi memproses serta membungkus arak tiruan ditemukan dalam gudang berkenaan, dalam serbuan kira-kira pukul 5.30 petang itu.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut ke atas dua kontena itu telah membawa kepada penemuan 16,513 botol arak tiruan pelbagai jenama, 900 liter cecair alkohol di dalam tong, 26,815 botol botol kaca kosong, penutup aluminium dan juga tangki IBC yang digunakan untuk membuat campuran arak dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1.018 juta.
“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk usaha mengenal pasti pemilik tempat ini kerana ketika serbuan, tiada siapa yang ditemukan di sini,” katanya kepada pemberita pada sidang media di lokasi, hari ini.
Beliau tidak menolak kemungkinan arak tersebut adalah untuk pasaran tempatan seperti pasar raya, selain dipercayai turut dijual secara dalam talian.
Mohd Suffian berkata pihaknya akan turut memanggil pemilik cap dagang bagi tujuan pengesahan berikutan kebanyakan barangan yang dirampas melibatkan perihal dagangan palsu, dan kes disiasat mengikut Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dangangan 2019.
Semalam KPDN Pulau Pinang telah merampas minyak masak peket polibeg satu kilogram, gula dan tepung gandum bernilai RM80,500 selain turut menyita sebuah lori dalam serbuan di sebuah gudang di sekitar kawasan yang sama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial