AM

10,000 Pelajar ILP, ADTEC Bantu Baik Pulih Peralatan Mangsa Banjir

06/12/2024 05:36 PM

PUTRAJAYA, 6 Dis (Bernama) -- Kira-kira 10,000 pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) serta Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) akan digerakkan ke negeri terjejas banjir bagi menawarkan khidmat misi pascabanjir serta membaik pulih peralatan elektrik yang rosak.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata kemahiran pelajar ILP dan ADTEC dalam membaik pulih peralatan elektrik dapat membantu meringankan beban mangsa banjir sekali gus menjimatkan perbelanjaan.

“(Pelajar) akan melihat plug, wiring dan sebagainya supaya bila mereka (mangsa banjir) balik rumah  boleh guna semula peralatan elektrik,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skuad Ihsan MADANI: Wira KESUMA di sini hari ini.

Beliau berkata bagi ILP yang mempunyai kepakaran dari sudut permotoran, pelajar juga akan digerakkan untuk memeriksa kereta atau motosikal yang terjejas. 

Mengenai Skuad Ihsan MADANI kementerian, Abdul Rahman berkata seramai 1,187 sukarelawan daripada pelbagai agensi di bawah kementerian digerakkan ke Kelantan bagi membantu misi pascabanjir. 

“Kelantan ialah negeri angkat bagi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) buat masa ini, saya percaya bukan di Kelantan sahaja kerana ia bergantung kepada keadaan banjir yang melanda,” katanya.

Beliau berkata agensi di bawah KESUMA iaitu Human Resource Development Corporation (HRD Corp) juga bersetuju menyumbang RM700,000 bagi membantu mangsa banjir.

Pada majlis itu, Bank Islam turut menyerahkan sumbangan pascabanjir berjumlah RM80,000 kepada Jabatan Tenaga Manusia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan