PUTRAJAYA, 6 Dis (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata sebanyak 267 stesen pemancar telekomunikasi yang terjejas akibat banjir, telah kembali pulih dan beroperasi setakat 9 pagi tadi, manakala 56 lagi belum beroperasi.
Beliau berkata sebanyak 323 stesen pemancar komunikasi terjejas akibat banjir di empat negeri setakat pagi ini, dengan 264 stesen daripadanya di Kelantan, Terengganu (49), Pahang (9) dan satu stesen di Johor.
Fahmi berkata banjir juga telah menjejaskan 91 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), namun daripada jumlah itu 81 telah kembali beroperasi manakala 10 lagi belum beroperasi.
Beliau berkata sebanyak 120 pusat pemindahan sementara (PPS) pula masih beroperasi setakat 9 pagi tadi.
“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan bahawa 23 PPS telah dipasang dengan wifi percuma dan masa yang sama MCMC terus berada pada tahap kesiapsiagaan untuk memastikan sekiranya berlaku insiden seperti banjir selepas ini, maka isu telekomunikasi dapat ditangani dengan segera,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Sementara itu, Fahmi berkata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching sedang dalam perjalanan ke Raub, Pahang bersama pasukan daripada MCMC untuk membantu kerja-kerja pembersihan pasca banjir serta meneliti isu-isu telekomunikasi.
Beliau berkata MCMC juga akan membuat penelitian setiap hari untuk mendapatkan maklumat terkini, sama ada stesen pemancar yang terkesan telah dipulihkan ataupun tidak.
Sementara itu, Fahmi berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini memaklumkan, jumlah kumulatif mangsa banjir setakat ini melebihi 222,000 orang melibatkan 70,706 keluarga di seluruh negara.
Beliau berkata jumlah mangsa tertinggi pada satu ketika di PPS adalah lebih daripada 150,000 orang namun setakat 12 tengah hari tadi, jumlah mangsa telah berkurang kepada 25,599 orang di 96 PPS.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial