KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) hari ini melancarkan Pasar Nelayan NEKMAT yang kedua di Taman Bukit Cheras.
Pengerusi NEKMAT Abdul Hamid Bahari berkata pembukaan pasar nelayan kedua ini adalah usaha NEKMAT untuk memastikan rakyat di kawasan bandar dapat menikmati hasil laut segar di kawasan perumahan mereka.
"Pada hari ini, kami turut mengadakan pelbagai promosi sempena pembukaan Pasar Nelayan @ Taman Bukit Cheras dengan harga yang sangat berpatutan. Sebagai contoh, untuk promosi Happy Hour, kami menawarkan harga serendah 20 sen untuk seekor ikan Cencaru.
"Bagi ikan-ikan besar seperti Bawal, Kerapu, Jenahak, Siakap dan pelbagai jenis ikan lainnya, kami menawarkan harga promosi antara RM5 hingga RM10 seekor. Kami menjual dengan harga yang sangat murah dan tidak dapat ditemui di tempat lain," katanya ketika ditemui Bernama.
Pasar Nelayan@ Bandar Taman Bukit Cheras dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil.
Selain Happy Hour, NEKMAT turut mengadakan jualan promosi seperti diskaun 15 hingga 30 peratus untuk pelbagai produk hasil laut dan pemberian baucer RM15 untuk belian barangan di Pasar Nelayan NEKMAT.
Abdul Hamid berkata objektif promosi hari ini bertujuan memberi pelanggan dan penduduk sekitar merasai ikan segar dari laut dan ternakan NEKMAT.
Beliau turut memaklumkan bahawa NEKMAT merancang untuk membuka 10 lagi Pasar Nelayan di Kuala Lumpur pada tahun hadapan.
"Kami juga akan menyarankan persatuan NEKMAT di peringkat negeri dan kawasan untuk mengikuti jejak langkah ini, agar penduduk bandar di seluruh negeri dapat menikmati ikan segar pada harga berpatutan. Jika inisiatif ini dilaksanakan di seluruh negara, ia secara tidak langsung dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjamin keterjaminan makanan," katanya.
Sementara itu, Muhammad Faiz berkata pasar nelayan yang membawa tema ‘Dari Nelayan Terus Ke Dapur’ itu bertujuan memberi kemudahan kepada nelayan tempatan untuk memasarkan hasil tangkapan secara terus kepada pengguna.
"Konsep ini bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan nelayan, tetapi juga penduduk setempat yang dapat membeli hasil laut segar pada harga lebih berpatutan," katanya.
Beliau berharap inisiatif pasar nelayan ini dapat terus berkembang, memberikan impak positif kepada komuniti nelayan dan masyarakat, selain membantu meningkatkan ekonomi nelayan serta menjamin bekalan makanan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial