AM

PIHEX 2024 FOKUS MODEL B2C SEMARAK INDUSTRI HALAL PULAU PINANG

07/12/2024 05:53 PM

BUKIT MERTAJAM, 7 Dis (Bernama) -- Transformasi penganjuran Ekspo Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHEX) ke-13 pada kali ini membolehkan semua lapisan masyarakat hadir bagi memeriahkan dan menyemarakkan industri halal di Pulau Pinang.  

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Mohamad Abdul Hamid berkata penganjuran kali ini memfokuskan model ‘B2C’ atau model ‘Business to Consumer’ dengan pengunjung berpeluang membeli produk halal yang berkualiti secara terus dengan para usahawan di expo berkenaan.

"Penganjuran PIHEX yang bermula 5 hingga 8 Dis di Gravitas di Jalan Baru di sini satu daripada komitmen kerajaan negeri bagi merakyatkan industri halal dan ini juga kali pertama diadakan di Daerah Seberang Perai yang sebelum ini hanya diadakan di dewan tertutup SPICE Arena. 

"PIHEX kali ini melibatkan 200 peserta pempamer yang terdiri usahawan tempatan, usahawan luar negara, jabatan dan agensi kerajaan serta institusi perbankan," katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian PIHEX ke-13 yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.

Sementara itu, Mohamad berkata Penang Halal International (PHI) adalah agensi kerajaan negeri yang bertanggungjawab mempromosikan ekosistem perniagaan yang terlibat dalam industri halal di Pulau Pinang dan seterusnya memanfaatkan potensi pasaran halal pada peringkat tempatan serta global yang sedang berkembang pesat. 

Mohamad yang juga Pengerusi PHI berkata agensi itu bekerjasama secara proaktif dengan Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dalam mempromosi dan menyelia tadbir urus pemegang sijil halal Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM).

Beliau berkata pembangunan sosioekonomi juga terus diperkasakan melalui PHI dan prestasi pensijilan halal dan industri halal di Pulau Pinang juga terus melonjak.

"Statistik pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) Pulau Pinang meningkat setiap tahun iaitu pada 2008 terdapat 56 syarikat sahaja yang memiliki pensijilan halal namun meningkat 1,805 syarikat setakat Oktober tahun ini," katanya.

Beliau memaklumkan sejak awal Januari hingga Oktober lepas, data pemegang SPHM di Pulau Pinang ialah 61.3 peratus dimiliki oleh syarikat bukan Muslim iaitu bukan Bumiputera dan milikan asing manakala baki 38.7 peratus atau 697 syarikat lagi dimiliki oleh syarikat Muslim dan bumiputera.

Beliau berkata peratusan pemegang SPHM bagi syarikat Muslim atau bumiputera telah menunjukkan peningkatan ketara hasil usaha giat yang dijalankan oleh PHI apabila pada awal tahun ini syarikat Muslim atau bumiputera hanya terdiri 11.3 peratus atau 216 syarikat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan