AM

JAWI DIMINTA SIASAT ADUAN ISU PEMBESAR SUARA SEBUAH MASJID DI IBU NEGARA

08/12/2024 02:17 PM

KUALA NERUS, 8 Dis (Bernama) -- Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diminta menyiasat aduan berkaitan sebuah masjid di ibu negara yang dikatakan memasang pembesar suara dengan kuat untuk tujuan kuliah agama sehingga mengganggu ketenteraman penduduk setempat. 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata pihaknya memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada jabatan itu untuk melakukan apa yang diperlukan bagi menyelesaikan isu berkenaan.

"Sudah ada jentera atau autoriti (JAWI) untuk ambil tindakan...Kita tidak mahu ada apa-apa isu yang menggugat ketenteraman. Insya-Allah secara berhikmah dengan sebaik mungkin perkara itu akan ditangani tanpa membangkitkan ketidakselesaan masyarakat," katanya pada program MADANI Prihatin bagi aktiviti gotong-royong membersihkan Sekolah Rendah Islam Al-Amin, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas aduan tular di media sosial berkaitan sebuah masjid di ibu negara yang didakwa memasang pembesar suara dengan terlalu kuat ketika sesi kuliah agama, yang menimbulkan pelbagai reaksi  dalam kalangan penduduk berhampiran baru-baru ini. 

Sementara itu Zulkifli berkata kira-kira 10,000 sukarelawan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) berdaftar, selain 14 agensi di bawah Hal Ehwal Agama termasuk Skuad Musa'adah Al-Falah MADANI, telah digerakkan bagi misi bantuan pascabanjir di seluruh negara.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan