KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Skuad remaja wanita negara berhasrat untuk mencuri sekurang-kurangnya satu mata apabila turun berdepan India bagi aksi kedua Kumpulan A di Kejohanan Hoki Piala Remaja Asia Wanita 2024 di Al Amarat, Muscat, Oman, malam esok.
Ketua jurulatih Lailin Abu Hassan berkata bagaimanapun ia bukanlah satu tugas mudah memandangkan India, selaku juara bertahan, merupakan pasukan pilihan kejohanan yang dibarisi pemain-pemain berkualiti.
Justeru, beliau menuntut anak buahnya tampil lebih fokus dan mengurangkan kesilapan yang dilihat mampu meranapkan impian pasukan negara untuk meraih satu mata penting.
“Untuk perlawanan kedua esok malam menentang India, kita akan cuba merancang dan menganalisis kekuatan serta kelemahan pasukan India. Saya harap pemain-pemain akan lebih fokus, tidak gugup, serta tidak melakukan kesilapan mudah yang boleh memberi tekanan kepada pasukan negara.
“Selain itu, pemain-pemain harus yakin dengan diri sendiri dan memberikan persembahan terbaik mengikut perancangan yang kita buat. Walaupun pemain-pemain India berkualiti, kita tetap yakin dengan kekuatan yang kita miliki,” katanya dalam satu audio yang dikongsikan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini.
Terdahulu, Malaysia membuka kempen Hoki Piala Remaja Asia Wanita 2024 dengan langkah kanan selepas menewaskan Thailand 3-0 dalam aksi pertama Kumpulan A, semalam.
Malaysia kini berada di tangga kedua Kumpulan A dengan mengumpul tiga mata di belakang China yang hanya dibezakan menerusi perbezaan jaringan.
Malaysia dijadualkan menentang Bangladesh pada Rabu ini dan bertemu China pada keesokan harinya.
Kumpulan B pula terdiri daripada pasukan Hong Kong, Jepun, Korea Selatan, Sri Lanka dan Taiwan.
Selepas pusingan kumpulan, dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke peringkat separuh akhir, manakala pasukan di tempat ketiga dan keempat akan bersaing dalam perlawanan penentuan tempat kelima hingga kelapan.
Untuk rekod, kejohanan ini menawarkan lima tiket kelayakan ke Kejohanan Piala Dunia Remaja Wanita yang dijadual berlangsung di Chile tahun depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial