AM

KARNIVAL KPDN ZON SELATAN REKOD JUALAN RM2.7 JUTA - AB RAUF

08/12/2024 07:09 PM

MELAKA, 8 Dis (Bernama) -- Sebanyak RM2.7 juta jualan berjaya direkodkan pada Karnival Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) 2024 Zon Selatan yang berlangsung di Dataran Sejarah Ayer Keroh di sini selama tiga hari sejak Jumaat lepas.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata karnival itu turut mendapat pengiktirafan Malaysian Book of Records kerana menganjurkan Jualan Rahmah MADANI selama 40 jam tanpa henti.

“Karnival anjuran KPDN ini juga berjaya menarik kehadiran kira-kira 104,000 pengunjung sehingga pukul 11 pagi tadi.

“Melaka sedia bekerjasama dengan KPDN untuk acara lebih menarik pada tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Karnival KPDN 2024 Zon Selatan di sini hari ini.

Lebih 100 pempamer dan peniaga menyertai karnival yang sebelum ini diadakan di Zon Utara (Perlis), Zon Timur (Kelantan), Zon Tengah (Perak), Zon Sabah dan Sarawak. 

Mengulas mengenai Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 yang bakal melabuhkan tirai pada akhir tahun ini, Ab Rauf berkata lebih 70 acara berskala besar berjaya dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Beliau berkata 14 lagi program berkaitan pelancongan akan dilaksanakan menuju acara penutup sambutan itu pada bulan ini.

Kerajaan negeri juga akan meneruskan pelbagai lagi aktiviti bagi menggamit kehadiran lebih ramai pelancong dan pengunjung sempena Hari Pelancongan Sedunia dan Persidangan Pelancongan Sedunia yang bakal diadakan di Melaka tahun depan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan