AM

LEBIH 7,000 KOPERASI GAGAL KEMAS KINI AKAUN, SKM BERI BIMBINGAN SEDIA PENYATA AKAUN - RAMANAN

09/12/2024 01:00 PM

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Sebanyak 7,779 koperasi di seluruh negara gagal mengemas kini akaun masing-masing, manakala 2,304 lagi tidak menjalankan audit, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan.

Bagaimanapun, beliau berkata Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah menyelesaikan isu itu dengan memberikan bimbingan, latihan dan bantuan dalam menyediakan penyata akaun bagi memastikan koperasi berkenaan tidak menghadapi masalah pengurusan kewangan.

"Baru-baru ini bantuan kewangan disediakan bagi pengurusan audit dan perakaunan untuk koperasi di Semenanjung Malaysia sebanyak RM3,000 dan bagi Sabah dan Sarawak, sebanyak RM3,500," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Richard Rapu (GPS-Betong) mengenai jumlah koperasi yang gagal menyediakan penyata akaun teratur dan pendekatan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk membantu koperasi berkenaan meneruskan perniagaan dan mematuhi tadbir urus ditetapkan.

Secara keseluruhan, Ramanan berkata terdapat 16,009 koperasi berdaftar di seluruh negara dan 9,823 daripadanya masih bergiat aktif.

Menjawab soalan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) yang ingin tahu tindakan KUSKOP dalam mengawal koperasi bermasalah, Ramanan berkata SKM telah mengambil langkah pencegahan dengan membangunkan garis panduan bersesuaian sebagai amalan terbaik dalam tatakelola dan pengoperasian aktiviti koperasi.

Beliau berkata antara aktiviti penyeliaan terhadap koperasi bermasalah dalam pengurusan kewangan termasuk mengadakan libat urus bagi membangunkan pelan pemulihan atau daya tahan kewangan dan memantau pelaksanaan pelan berkenaan.

Selain itu, langkah kawalan bagi menjamin ahli koperasi agar tidak mengalami kerugian pula termasuk tindakan preventif dan intervensi oleh SKM ke atas aduan awam berkaitan aktiviti koperasi yang meragukan.

"SKM memang mampu untuk mengawal selia koperasi dengan kapasiti yang sedia ada. Terdapat cawangan-cawangan di seluruh negara dan SKM mempunyai petugas yang cukup untuk mengendalikan koperasi terbabit," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan