AM

PINDAAN KANUN KESEKSAAN TANGANI ISU BULI DALAM TALIAN DIBENTANGKAN DI DEWAN RAKYAT

09/12/2024 03:44 PM

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) (No. 2) 2024 bagi menangani secara khusus isu buli yang dilakukan dalam apa-apa cara atau kaedah termasuk dalam talian, dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Rang undang-undang itu dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said yang memaklumkan bacaan kali kedua RUU itu akan dibuat pada mesyuarat kali ini.

Menerusi RUU itu, subseksyen baharu 507D(2) dicadangkan bertujuan menjadikan suatu kesalahan bagi mana-mana orang dalam apa-apa cara yang menggunakan perkataan atau komunikasi mengugut, menghina atau mencela dengan niat memprovokasi seseorang dan menyebabkan kemudaratan kepada dirinya atau kepada orang lain.

Subseksyen itu memperuntukkan hukuman pemenjaraan bagi suatu tempoh yang boleh dilanjutkan hingga setahun atau denda atau kedua-duanya.

Subseksyen itu juga memperuntukkan bahawa jika orang yang diprovokasi cuba untuk membunuh diri atau membunuh diri akibat provokasi itu, hukuman bagi kesalahan yang dicadangkan ialah pemenjaraan bagi suatu tempoh yang boleh dilanjutkan hingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.

RUU itu turut mencadangkan subseksyen baharu 507E untuk menjadikan kesalahan bagi mana-mana orang dan melalui apa-apa kaedah menyiarkan, mengedarkan atau menjadikan tersedia apa-apa maklumat identiti seseorang dengan niat menyebabkan gangguan, distres, ketakutan atau kebimbangan terhadapnya.

Dalam pada itu, Azalina turut membentangkan Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No.2) 2024 bagi bacaan kali pertama. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan