KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Undang-Undang (Pindaan) 2024 yang antara lain memberi kuasa kepada Ketua Audit Negara untuk mengaudit akaun Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia.
Pindaan terhadap Akta Profesion Undang-Undang 1976 itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 10 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said ketika membentangkan RUU berkenaan bagi bacaan kali kedua berkata melalui kuasa itu, Ketua Audit Negara dapat menjalankan audit secara berkala, memastikan semua transaksi kewangan dijalankan dengan betul dan mengikut prosedur ditetapkan.
"Langkah ini amat penting untuk memastikan ketelusan dan integriti dalam pengurusan kewangan lembaga terbabit sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap sistem perundangan," katanya.
Beliau berkata pindaan itu juga membenarkan penubuhan firma guaman sebagai perkongsian liabiliti terhad selaras dengan Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012.
Selain itu, pindaan turut membenarkan Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam menubuhkan satu atau dua cawangan dalam mana-mana negeri di luar pejabat utama.
Azalina berkata pindaan akta itu penting dalam memastikan profesion undang-undang di Malaysia kekal relevan, berdaya saing dan terus maju seiring dengan perkembangan semasa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial