AM

ALLIANZ MALAYSIA, UM LANCAR PUSAT TADBIR URUS TANGANI RASUAH PERINGKAT AKAR UMBI

10/12/2024 05:18 PM

PETALING JAYA, 10 Dis (Bernama) -- Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) dan Universiti Malaya (UM) hari ini melancarkan Pusat Tadbir Urus Allianz (ACFG), inisiatif strategik untuk penyelidikan tadbir urus dan bidang berkaitan bagi menangani amalan rasuah di peringkat akar umbi.

Terletak di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi UM, pusat itu akan berfungsi sebagai platform untuk penyelidikan akademik dan libat urus awam, memberi tumpuan kepada pengukuhan integriti perniagaan dan menyokong pembaharuan tadbir urus.

Ketua Pegawai Eksekutif Serantau Allianz Asia Pasifik Anusha Thavarajah berkata asas reputasi Allianz yang dibentuk berdasarkan kepercayaan dengan keyakinan diberikan pelanggan, pemegang saham serta komuniti kepada syarikat adalah satu keistimewaan dan tanggungjawab.

“Pematuhan yang ketat terhadap Kod Etika Allianz meyerlahkan dasar toleransi sifar terhadap rasuah yang kami amalkan.

“Pendirian ini bukan hanya mengenai pematuhan undang-undang tempatan dan antarabangsa, bahkan ia mencerminkan kepercayaan kami bahawa memerangi rasuah asas mempromosikan tadbir urus yang baik dan memastikan masa depan yang lestari. Allianz adalah sebuah syarikat insurans yang dipercayai,” katanya semasa majlis pelancaran ACFG di Perpustakaan Memorial Za’ba di UM di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Allianz Malaysia Zakri Mohd Khir, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Sean Wang Wee Keong, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UM Profesor Dr Yatimah Alias serta Dekan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi UM Profesor Dr Yusniza Kamarulzaman.

Anusha berkata rasuah tidak terhad kepada industri tertentu dengan sektor insurans turut tidak terkecuali, selain turut menekankan perniagaan Allianz dibina berdasarkan perlindungan serta kepercayaan dan syarikat itu bukan sahaja melindungi pemegang polisi tetapi juga integriti sistem serta masyarakat di lokasi ia beroperasi.

“Tadbir urus yang baik melindungi sumber awam, memastikan amalan beretika dan memacu pertumbuhan negara. Apabila entiti Allianz memimpin inisiatif seperti ini, mereka benar-benar melakukan apa yang diungkapkan, menunjukkan nilai bersama yang menyatukan kita di seluruh rantau,” katanya.

Beliau menggambarkan ACFG sebagai langkah ke hadapan yang berani dan penting dengan misi jelas untuk melibatkan pihak berkepentingan, memperjuangkan pembaharuan dan mempromosikan akauntabiliti merentas sektor.

“Inisiatif ini mencerminkan pemahaman kami bahawa organisasi besar seperti Allianz mesti menjadi contoh, bekerjasama dengan kerajaan, perniagaan, masyarakat sivil dan media,” katanya.

Sementara itu, Yatimah memuji Allianz Malaysia kerana memberi tumpuan kepada tadbir urus yang baik, dengan menyatakan pusat itu akan mengukuhkan pengetahuan serta amalan, memberi manfaat kepada kepimpinan negara, sektor korporat, masyarakat sivil dan kumpulan lain dalam membentuk negara yang lebih baik.

Beliau berkata dalam konteks ekonomi dan sosial hari ini, tadbir urus yang baik bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan.

“Tanpa ragu penubuhan pusat ini akan mempercepatkan usaha untuk meningkatkan kualiti tadbir urus, memastikan ketelusan yang berterusan.

“Saya yakin kerjasama ini akan memperkukuh sinergi antara UM dan rakan industri kami, Allianz Malaysia untuk mencapai visi dan misi ini secara bersama,” katanya.

Bercakap kepada wartawan, Wang berkata sebagai entiti korporat matlamat Allianz Malaysia melangkaui keuntungan, mengutamakan inisiatif yang mewujudkan impak positif kepada masyarakat.

“Kami telah menyusun inisiatif yang berkaitan dengan tadbir urus baik untuk generasi akan datang dan akan meneroka lebih banyak peluang untuk bekerjasama dengan institusi pendidikan lain,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan