AM

PELAJAR PERNAH SERTAI KADET SEKOLAH DIBERI KEUTAMAAN SERTAI PLKN 3.0 - PM ANWAR

11/12/2024 08:56 PM

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara 3.0 (PLKN 3.0) tahun hadapan yang akan diselaraskan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pertahanan, akan memberi keutamaan kepada pelajar yang pernah menyertai aktiviti kadet sekolah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di laman Facebook berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Tatakelola Dewan Kenegaraan yang dipengerusikannya, hari ini.

"Antara yang dibentangkan dalam mesyuarat ini ialah status pelaksanaan program PLKN 3.0 yang akan bermula tahun 2025, dengan saya menekankan peri penting pelaksanaan program ini dilaksana dengan teliti serta menambah baik pendekatan bersesuaian dengan peredaran keadaan semasa," kata beliau.

Antara yang hadir dalam mesyuarat itu ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.

Anwar berkata menerusi mesyuarat itu, beliau turut dimaklumkan mengenai kemajuan pelaksanaan program membina kefahaman dan penghayatan erti kenegaraan yang sangat penting kepada setiap rakyat Malaysia.

Beliau berkata perkara ini penting, agar program itu mampu melahirkan generasi anak muda Malaysia yang mempunyai daya tahan tinggi, cekal menopang rintangan kehidupan serta mampu menyumbang kepada negara selaku warganegara Malaysia yang bertanggungjawab.

"Terkait peranan setiap rakyat dalam membina negara bangsa, adalah mustahak usaha menyeluruh digembleng dalam memperkukuh jati diri, kekuatan iltizam bersama memajukan negara dan kesediaan untuk mempertahankan tanah air tercinta," kata beliau.

Sebelum ini Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata Kementerian Pertahanan akan melaksanakan Latihan Percubaan PLKN 3.0, membabitkan 200 pelatih lelaki secara sukarela yang berlangsung selama 14 hari bermula 12 Jan depan.

Latihan bertempat di Rejimen 515 Askar Wataniah, Kuala Lumpur itu terbuka kepada semua rakyat Malaysia berusia dalam lingkungan 18 hingga 20 tahun, dengan permohonan dilakukan menerusi laman sesawang Kementerian Pertahanan, www.mod.gov.my sehingga 23 Nov.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan