BERITA TERGEMPAR   PM Anwar expresses condolences to the family of Egyptian Islamic movement activist Youssef Nada who passed away today | 
 AM

KAPASITI PENJANAAN ELEKTRIK SEMENANJUNG CAPAI 26,152 MEGAWATT - FADILLAH

12/12/2024 12:39 PM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Kapasiti penjanaan elektrik di semenanjung kini mencapai 26,152 megawatt dengan rizab tenaga sebanyak 24 peratus, kata Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Datuk Seri Fadillah Yusof. 

Fadillah, yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata kapasiti penjanaan elektrik di Sarawak adalah sebanyak 5,745 megawatt berserta rizab tenaga 25 peratus, manakala di Sabah kapasitinya adalah 1,237 megawatt dengan rizab tenaga 6.1 peratus.

"Kerajaan komited untuk memastikan bekalan tenaga negara mencukupi, berpandukan tiga prinsip utama iaitu keterjaminan bekalan tenaga, kelestarian dan kemampanan bekalan termasuk pengurusan alam sekitar yang lestari serta kemampuan, di mana tenaga yang dibekalkan, mampu dibayar oleh pengguna," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Fadillah menjawab soalan Senator Baharuddin Ahmad yang ingin tahu status terkini kapasiti penjanaan elektrik dan rizab tenaga bagi Semenanjung, Sabah dan Sarawak serta sama ada bekalan sedia ada mencukupi untuk menampung permintaan dan keperluan industri pusat data yang semakin berkembang pesat.

Beliau menjelaskan bahawa kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) bagi memastikan bekalan tenaga negara memenuhi keperluan semasa dan masa depan.

Melalui jawatankuasa itu, beliau berkata kerajaan dapat menentukan keperluan tenaga dengan menguruskan penjanaan dan pelaksanaan bekalan melalui kontrak-kontrak dengan syarikat utiliti penjanaan kuasa, serta menetapkan kadar tarif yang bersesuaian.

Sementara itu, Fadilah berkata jawatankuasa tersebut mengunjurkan keperluan elektrik untuk pusat data akan mencapai 12.9 gigawatt menjelang 2030 dan meningkat kepada 20.9 gigawatt pada 2040.

“Sebagai langkah persediaan, mesyuarat JPPPET telah meluluskan unjuran Pelan Pembangunan Penjanaan (PDP) bagi Semenanjung Malaysia untuk tempoh 2024 hingga 2050. Pelan ini mengambil kira pembangunan kapasiti penjanaan baharu berasaskan gas serta peningkatan penggunaan tenaga boleh baharu untuk memenuhi permintaan yang diunjurkan,” katanya.

Beliau juga memaklumkan, sebagai langkah penyelesaian segera, kementerian telah mengenal pasti loji-loji janakuasa sedia ada untuk dilanjutkan tempoh operasinya memandangkan pembinaan sebuah loji janakuasa baharu biasanya mengambil masa empat hingga lima tahun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan