AM

PENGGUNA MOHON FAKTOR KESELAMATAN DIBERI KEUTAMAAN DALAM PROJEK LEBUHRAYA PAN BORNEO SABAH

12/12/2024 05:56 PM
Daripada NOORAZLINA JINDEH

KOTA KINABALU, 12 Dis (Bernama) -- Penduduk Sabah melahirkan rasa lega apabila kerajaan memberi jaminan Lebuhraya Pan Borneo Fasa 1A akan siap selewat-lewatnya pada 2026, namun menjelang tempoh itu mereka memohon supaya faktor keselamatan diutamakan ketika pembinaan dan kerja-kerja penilaian projek setelah siap nanti.

Perkara itu disuarakan penduduk berikutan terdapat beberapa kes kemalangan antaranya di kawasan pembinaan projek, di jalan menunggu dinaik taraf yang rosak teruk, kawasan pembinaan serta jalan sudah siap yang terlalu gelap kerana ketiadaan lampu jalan. 

Mengambil contoh Jalan Kota Kinabalu-Tuaran, yang sedang dibina semula sebagai Lebuhraya Pan Borneo namun laluan di kawasan pembinaan dan bahagian jalan yang menunggu dibina semula kini rosak teruk dan lampu jalan tidak mencukupi sekali gus menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna terutama motosikal. 

Presiden Barisan Pengguna Sabah (CFOS) Nordin Thani berkata 2026 masih agak jauh dan pengguna jalan raya terdedah kepada pelbagai risiko sekiranya faktor keselamatan tidak diutamakan dalam tempoh tersebut, justeru semua pihak terutama kontraktor diharap tidak mengambil sikap sambil lewa berhubung faktor itu. 

Beliau berkata meskipun kecuaian pengguna antara faktor berlakunya kemalangan jalan raya, keadaan jalan raya juga menjadi penyebab utama insiden tersebut hingga ada yang melibatkan kehilangan nyawa.

“Kontraktor yang mengendalikan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo perlu pastikan kakitangan yang meletakkan tanda lencongan dan halangan itu tahu mengenai laluan itu terutama aliran trafik dan bukan saja-saja diletakkan (tanda tersebut) di situ.

“Kalau kita tengok dalam berita, hampir setiap hari ada sahaja berita mengenai kemalangan maut dan kita merasa amat sedih kerana keadaan jalan itu sendiri yang menyukarkan perjalanan pengguna yang mungkin laluan mereka sudah diubah daripada laluan asal,” katanya kepada Bernama.

Pada 29 Julai lepas, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A mencapai tahap 77.41 peratus dan dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya pada 2026.

Beberapa insiden kemalangan di lebuh raya itu berlaku, terbaharu pada 27 Okt lepas melibatkan penunggang motosikal berkuasa tinggi dan pemandu warga emas maut setelah kenderaan mereka bertembung dalam kejadian di Kilometer 11, Lebuhraya Pan Borneo.

Pada 30 Sept, dua beranak maut dirempuh sebuah kereta ketika berjalan kaki melintas Jalan Kota Kinabalu-Tuaran berhampiran simpang Kampung Rugading dengan pembinaan lebuh raya tersebut sedang dilakukan.

Pengerusi Persatuan Tuan Punya Sewa Kereta Daerah Beaufort Noraman Sadali pula berkata sebagai pemandu teksi selama 20 tahun yang menggunakan laluan Beaufort-Kota Kinabalu yang kini sedang dibina lebuh raya , dia sering kali menyaksikan kemalangan terutamanya melibatkan pengguna motosikal.

Beliau berkata hal ini kerana jalan raya itu yang kini masih dalam proses pembinaan mengalamai kerosakan dan banyak berlubang yang membahayakan pengguna khususnya bagi mereka yang kurang mahir atau pertama kali menggunakan laluan berkenaan.

“Bagi kami yang sudah terbiasa dengan laluan disini (Beaufort-Kota Kinabalu) memang sudah tahu jalan mana yang berlubang dan ada lencongan tetapi kalau ada pemandu yang pertama kali lalu di laluan ini memang bahaya, waktu malam pun memang gelap.

“Lampu hanya ada di beberapa tempat sahaja seperti di simpang jalan tapi kami yang sudah terbiasa dengan laluan itu sudah tahu di mana perlu ‘tekan minyak’ dan perlahan,” katanya.

Pemandu bas Kota Kinabalu-Tuaran, Azran Maran, 35, juga mengakui sepanjang laluan pembinaan lebuh raya itu  bukan sahaja membahayakan nyawa pengguna tetapi turut memberi kesan kepada kenderaan.

Beliau berkata keadaan jalan raya yang berlubang-lubang menyebabkan kerosakan pada kenderaan awam mahupun kereta persendirian, dan memohon supaya bahagian jalan yang belum terlibat dalam pembinaan itu tidak dibiarkan rosak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan