AM

MUFTI PERLU SEGERA BERIKAN PANDANGAN TERHADAP ISU LIBATKAN HUKUM SYARAK

12/12/2024 09:12 PM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar meminta semua mufti negeri segera mengeluarkan pandangan berkaitan isu yang menimbulkan persoalan dalam kalangan umat Islam.

Beliau berkata mufti negeri mempunyai kuasa untuk mengeluarkan pendapat berkaitan hukum syarak bagi mengelakkan kekeliruan.

"Bila mana ada isu libatkan persoalan hukum, masyarakat biasanya akan tertanya-tanya. Dengan kuasa yang ada pada mereka (mufti) maka keluarkan pandangan hukum dengan segera supaya masyarakat tidak terpinga-pinga, macam mana nak buat, macam mana nak faham isu tersebut dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman Belanjawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2025 di sini hari ini.

Mohd Na'im berkata demikian bagi mengulas isu tular di media sosial berkaitan tindakan sebuah hospital swasta di Selangor yang didakwa menahan mayat bayi lelaki selama 16 hari di dalam peti sejuk mayat kerana bapanya tidak mempunyai wang untuk membayar bil.

Pada masa sama, Mohd Na'im berkata beliau telah meminta Mufti Wilayah Persekutuan Prof Madya Datuk Dr Luqman Abdullah untuk memberikan pandangan dari segi hukum berhubung isu itu. 

Beliau berkata Skuad Jejak Asnaf MAIWP telah mengenal pasti keluarga terbabit dan akan menyantuni mereka.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan